Artikel

Wajarkah Arteta jual 9 pemain dan bentuk skuad baharu Arsenal 2020-21?

Mikel Arteta menutup cabaran musim sulungnya sebagai ketua jurulatih Arsenal dengan memacu kelab London tersebut menjulang trofi Piala FA England 2019-20 setelah menewaskan Chelsea di Stadium Wembley.

Kejayaan itu turut memberikan Arsenal slot automatik ke saingan Liga Europa bersama-sama pasukan Leicester City yang meraih kedudukan ke-5 Liga Perdana Inggeris (EPL). Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan ke-6 diberikan slot kelayakan pusingan ke-2.

Bagaimanapun prestasi Arteta kurang memberangsangkan dalam saingan EPL dengan hanya menduduki tangga ke-8 selain tersingkir daripada saingan Liga Europa 2019-20 di tangan Olympiakos pada aksi kelompok 32 pasukan terakhir.

Tidak mahu mewarisi skuad Unai Emery

Namun pujian tetap diberikan kepada pengurus muda kelahiran Sepanyol ini kerana ini merupakan kali pertama Arteta mengambil tanggungjawab sebagai ketua jurulatih di pertengahan musim dan mewarisi skuad tinggalan bekas ketua jurulatih, Unai Emery.

Saingan EPL, Liga Europa, Piala Carabao kian mencabar saban tahun dan Arteta juga akan menggalas usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA pada musim depan. Maka tidak peliklah Arteta yang juga bekas kapten Arsenal dilaporkan bercadang untuk merombak skuad sedia ada dan mendapatkan beberapa pemain baharu yang menjadi pilihannya untuk beraksi pada musim depan.

Bagaimanapun, Arteta yang merupakan bekas penolong jurulatih kepada Pep Guardiola di Manchester City tahu duit hasil kemenangan Piala FA dan pendapatan daripada saingan Liga Europa semata-mata tidak mencukupi untuk mendapatkan pemain-pemain baharu. Solusinya pada ketika ini, Arteta perlu melepaskan beberapa pemain bintangnya bagi mendapatkan dana tambahan.

Lacazette, Bellerin dan 7 pemain bintang mahu dijual

Menurut Daily Mail, dilaporkan seramai 9 orang pemain bintang yang diletakkan dalam senarai untuk dijual oleh Arsenal. Ianya terdiri daripada kalangan pemain tunjang yang sering mengisi kesebelasan utama termasuk yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA, ahad lalu.

Antaranya penyerang Alexandre Lacazette, pemain tengah Matteo Guendouzi, Henrikh Mkhitaryan, Lucas Torreira, pertahanan Hector Bellerin, Sokratis, Sead Kolasinac, Shkodran Mustafi dan Rob Holding.

Pemain-pemain ini mahu dijual bagi mendapatkan dua pemain yang dikhabarkan oleh media menjadi sasaran utama Arteta iaitu pemain tengah Atletico Madrid, Thomas Partey dan penyerang sayap lincah Chelsea, Willian serta beberapa nama lain lagi.

Selain itu, mereka juga berhasrat untuk membawa perancang Barcelona, Philippe Countinho namun kewangan dilihat menjadi kekangan yang paling besar pada ketika ini.

Perancangan yang berisiko, lihat apa yang terjadi pada Spurs musim 2013

Melepaskan sehingga 9 pemain tunjang sedia ada dan merekrut sejumlah pemain-pemain baharu merupakan satu tindakan yang berisiko tinggi dan Arteta bakal berdepan cabaran yang sukar untuk membentuk keserasian skuad baharu bagi mengharungi saingan musim depan.

Perkara ini telah terjadi kepada seteru Arsenal iaitu Tottenham Hotspur pada tahun 2013 apabila mereka menggunakan duit hasil penjualan mega Gareth Bale untuk menandatangani Christian Eriksen, Nacer Chadli, Erik Lamela, Paulinho, Etienne Capou, Vlad Chiriches dan Roberto Soladado.

Pemain-pemain yang disangkakan mampu memperkukuhkan Spurs pada musim itu, tidak memberikan hasil yang diharapkan dan mereka sekadar menamatkan saingan EPL 2013-14 di tangga ke-6, tersingkir daripada saingan Piala FA di pusingan ke-3, ditunjukkan jalan keluar daripada Piala Liga pada pusingan ke-5 dan terkandas di saingan Liga Europa pada aksi 16 terakhir.

Arteta sudah buat ‘kira-kira’

Namun sejak mengambil alih kerusi ketua jurulatih Arsenal menggantikan Unai Emery, Arteta dilihat telah bersedia awal untuk merombak dan membina skuad baharu untuk mengharungi saingan musim depan.

Ini dapat dilihat apabila Arteta sering memberikan peluang bermain kepada pemain-pemain muda seperti Bukayo Saka, Eddie Nketiah, Ainsley Maitland-Niles, Kieran Tierney, Joe Willock, Gabriel Martinelli dan beberapa nama lagi.

Tidak dilupakan penyerang prolifik, Pierre-Emerick Aubameyang telah dinyatakan berkali-kali oleh Arteta akan kekal di Stadium Emirates. Wajah skuad baharu Arsenal dapat digambarkan dengan dibina berpaksikan Aubameyang, pemain-pemain sasaran seperti Partey dan Willian serta pemain-pemain muda mereka.

Apa yang penulis boleh simpulkan, ia satu tindakan yang wajar buat Arteta melepaskan sehingga 9 pemain tunjang mereka bagi mendapatkan dana. Arteta juga melihat skuad sedia ada tidak mampu mencabar saingan-saingan utama dengan lebih serius selain daripada mahukan pemain-pemain yang dapat memainkan taktikalnya dengan lebih berkesan.

Namun ianya diiringi dengan cabaran besar untuk menerapkan keserasian skuad baharu dan peminat dan pengurusan pastinya mahu melihat Arteta kembali mengemudi Arsenal untuk memburu kedudukan 4 terbaik dalam saingan bola sepak Inggeris dan meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara UEFA sebagaimana di zaman kendalian Arsene Wenger dahulu.

komen