Written by 6:25 am Lain-Lain

Indonesia ‘Berjodoh’ Dengan Malaysia Di Piala Thomas & Uber

Musuh serantau, Indonesia bakal menjadi halangan buat skuad Piala Thomas dan Uber negara apabila kedua-dua negara diundi bersama-sama dalam satu kumpulan bagi menghadapi saingan yang bakal berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 Oktober nanti.

Bagi kempen Piala Thomas, Malaysia turut akan menghadapi cabaran dua negara Eropah, Belanda dan England dalam kumpulan A.

Selain Indonesia, Korea Selatan dan Australia bakal menjadi lawan skuad wanita negara yang diundi dalam kumpulan B.

Andai disingkap kembali perjalanan kedua-dua pasukan untuk layak secara merit ke saingan di Aarhus itu, skuad lelaki negara melakar kejutan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 di Filipina.

Lee Jii Zhia

Skuad yang diketuai Lee Jii Zia itu menumbangkan gergasi badminton dunia, Jepun pada aksi separuh akhir dengan keputusan 3-0 yang mana Jii Zia menundukkan Kanta Tsuneyama 21-11, 8-21, 21-11.

Dua lagi mata buat skuad negara dihadiahkan oleh pasangan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan kedua, Cheam June Wei. 

Kecemerlangan itu gagal diulangi pada aksi final setelah skuad negara kecundang 1-3 di tangan Indonesia.

Skuad wanita negara turut sama melakar kejutan apabila layak secara merit berikutan kemaraan mereka ke separuh akhir walaupun kemudiannya kecundang 0-3 bertemu Jepun.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 sepatutnya berlangsung pada Mei 2020, namun wabak COVID-19 yang melanda memaksa saingan dijadualkan semula ke bulan Oktober nanti.

Berikut adalah keputusan penuh undian:

Piala Thomas

Kumpulan A

Indonesia, Malaysia, Belanda & England

Kumpulan B

China, Chinese Taipei, Australia & Perancis

Kumpulan C

Denmark, India, Germany & Algeria

Kumpulan D

Jepun, Korea Selatan, Thailand & Canada

 

Piala Uber

Kumpulan A

Jepun, Chinese Taipei, Mesir & Sepanyol

Kumpulan B

Korea Selatan, Indonesia, Australia & Malaysia

Kumpulan C

Thailand, Denmark, Scotland & Canada

Kumpulan D

China, India, Perancis & Jerman

(Visited 4 times, 1 visits today)
Close