Written by 7:47 am Bola Sepak, Eropah

Kisah John O’Shea tercungap-cungap kejar Cristiano Ronaldo yang berumur 18 tahun

Pada musim panas tahun 2003, Manchester United bertemu Sporting Lisbon dalam satu aksi persahabatan pramusim.

Dalam perlawanan tersebut, pemain muda berumur 18 tahun, Cristiano Ronaldo yang bermain bersama kelab Portugal itu mencuri tumpuan rata-rata pemain Red Devils termasuk pengurus pasukan pada ketika itu, Alex Ferguson.

Digambarkan oleh rata-rata pemain Manchester United ketika itu, tiada pemain mampu menghampiri atau merantai pergerakan Cristiano dek kelincahannya. Bekas pertahanan lagenda Manchester United, Rio Ferdinand turut berkongsikan peristiwa tersebut baru-baru ini.

Betapa bertenaganya persembahan Cristiano sehingga membuatkan bekas pemain tengah, John O’Shea tercungap-cungap selepas 45 minit permainan apabila ditugaskan untuk merantai pergerakan Cristiano.  

“Kami bermain menentang Sporting pada 2003, selesai babak pertama dan kami (lihat) John O’Shea perlukan tangki oksigen di sebelahnya.

“Dia duduk dalam keadaan tercungap-cungap. Ketika itu kami minta dia merapati Ronaldo dan dia tidak mampu untuk melakukannya.” katanya seperti dipetik daripada The Sun.

Hampir semua pemain memperkatakan tentang Cristiano selepas daripada aksi persahabatan tersebut. Paul Scholes, Nicky Butt, Ryan Giggs termasuk Ferdinand memuji aksi ditampilkan pemain kelahiran Madeira tersebut.

Cristiano membantu Sporting Lisbon meraih kemenangan ke atas Manchester United pada ketika itu di mana mereka menang 3-1 ke atas Red Devil, hampir kesemua pemain sepakat aksi yang ditampilkan Cristiano itu amat sesuai untuk bersama Manchester United dan bermain di Stadium Old Trafford.

Mereka mahu menyampaikan hasrat itu kepada Ferguson namun tanpa mereka sedar, Ferguson terlebih dahulu telah pergi bertemu Cristiano dan berunding untuk membawanya ke England.

“Sejujurnya, saya, Paul Scholes dan Nicky Butt berdiri di sana dan berkata, budak ini menakjubkan, kita perlu menandatanganinya.

“Kami menunggu jurulatih (Ferguson) sehingga satu jam setengah, dan mereka sedang berunding untuk mendapatkan Ronaldo pada saat itu juga.” kongsi Ferdinand lagi.

Sepertimana sedia maklum, akhirnya Cristiano ditandatangani oleh Manchester United dengan harga perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak England bagi seorang pemain yang masih remaja pada waktu itu iaitu sekitar 13 juta pound sterling.

Dia diperkenalkan sebagai pemain Manchester United pada jendela perpindahan musim panas tahun 2003. Cristiano diberikan jersi bernombor 7, jersi yang pernah disarung oleh pemain-pemain hebat seperti George Best, Eric Cantona dan David Beckham.

Selama 6 tahun menyarung jersi Red Devil, Cristiano telah menjaringkan 118 gol, memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah.

(Visited 11 times, 1 visits today)
Close