Written by 7:32 am Bola Sepak, Eropah

Salah Masak Semasa Tinggal Bersendirian

Siapa sangka penggempur utama Liverpool FC, Mohamed Salah mempunyai kebolehan yang tidak diketahui oleh ramai peminat iaitu pandai memasak.

Menurut pemain kelahiran Mesir berusia 28 tahun itu, kebolehannya untuk memasak itu hadir apabila dia tinggal bersendirian ketika di awal karier bola sepaknya, di luar negara.

Bermula dengan hidangan yang paling ringkas, penyerang yang mengumpul 19 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 sudah meningkatkan skil masakannya dan mampu menyediakan hidangan berasaskan ayam dan daging ketika ini.

“Saya pernah tinggal sendirian dan apabila tinggal bersendirian sudah pasti anda perlu tahu memasak.

“Pasta dan tomato (masakan pertama) saya buat, kemudian belajar memasak ayam dan daging. Saya boleh memasak dengan baik.” katanya kepada Adam Carruthers semasa ditemu bual oleh Stadium Astro.

Mohamed Salah vs Watford

Ketika ditanyakan samada terdapat kalangan rakan sepasukannya di Liverpool yang turut memiliki kemahiran memasak sepertinya, Salah hanya mengungkap tidak ramai kalangan mereka terpaksa menempuh hidup bersendirian sepertinya sehingga terpaksa belajar memasak sendiri untuk mengisi perut yang lapar.

“Mereka (kebanyakan) tak pernah tinggal sendirian sepanjang mereka hidup seperti saya, apabila anda tinggal sendirian, anda perlu mencuba untuk belajar memasak,

“Kini, saya juga kerap memasak (sarapan dan makan tengah hari) kecuali jika berada dalam kem latihan.” tambahnya lagi.

Salah menyertai skuad The Reds ketika jendela perpindahan musim panas tahun 2017 dengan yuran perpindahan sebanyak 42 juta pound sterling daripada AS Roma.

Sejak itu, Salah yang begitu prolifik di hadapan gol telah merangkul pelbagai anugerah individu serta membantu Liverpool memenangi kejuaraan EPL, Liga Juara-Juara UEFA, Super Cup UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Foto Kredit: Liverpool FC

(Visited 112 times, 1 visits today)
Close