Artikel

Sancho kekal bersama Dortmund sehingga 2023, Usaha Man Utd Gagal?

Pemain muda berbakat, Jadon Sancho dikhabarkan kekal bersama Borussia Dortmund sehingga tahun 2023. Adakah ini bermakna usaha Manchester United untuk membawa pemain itu ke Stadium Old Trafford telah gagal?

Terdahulu, Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc seakan-akan telah memberi bayangan awal mengenai perpindahan Sancho apabila menjawab soalan wartawan semasa sidang media.

“Kami bercadang untuk menggunakan (khidmat) Sancho dalam pasukan kami musim ini, ia adalah keputusan muktamad. Saya rasa jawapan ini menjawab semua persoalan.

“Musim panas lalu kami telah berunding gaji Sancho untuk menyamai perkembangan semasa prestasinya. Dalam konteks ini, pada waktu itu kami telah melanjutkan kontraknya sehingga tahun 2023.” ujar Zorc yang mewakili Dortmund.

Foto: Borussia Dortmund

Musim ini Sancho telah menjaringkan 17 gol dan merekodkan 16 bantuan gol daripada 32 penampilan dalam saingan Bundesliga dan statistik itu merupakan yang terbaik sejak bermain dalam saingan bola sepak Jerman.

Terbaharu, akaun media sosial kelab berpangkalan di Jerman itu menguatkan lagi dakwaan kegagalan skuad Red Devil untuk mendapatkan khidmat Sancho apabila mereka memuat naik gambar pemain England itu mengikuti pasukannya mengharungi saingan pramusim di Switzerland.

Kedua-dua bayangan daripada pengarah sukan dan muat naik akaun media sosial Dortmund ini seakan-akan isyarat bahawa Sancho kekal menyarung jersi Kuning Hitam untuk saingan musim 2020-21 yang bakal bermula 18 september kelak.

Menurut laporan media eropah, Manchester United menjadi pasukan paling kuat dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Sancho namun Dortmund hanya akan melepaskan pemain tersebut pada harga £108 juta sahaja.

Foto: Borussia Dortmund

komen