Artikel

Silva Kekal Sarung Jersi ‘Sky Blue’ Walaupun Keluar Manchester City

Pemain perancang prolifik, David Silva kekal menyarung jersi berwarna ‘Sky Blue’ walaupun disahkan meninggalkan Manchester City.

Menurut laporan The Guardian, pemain berusia 34 tahun itu bakal menyertai kelab baharu yang turut menggunakan jersi berwarna ‘Sky Blue’ iaitu Lazio.

Difahamkan kelab yang beraksi dalam saingan Serie A itu memberikan Silva kontrak selama tiga tahun. Bagaimanapun Silva meluahkan keyakinan bahawa dia boleh beraksi di peringkat tertinggi sekurang-kurangnya selama lima tahun lagi.

Terdahulu, Silva yang telah beraksi bersama Manchester City selama 10 tahun mengesahkan meninggalkan kelab tersebut apabila membuat penampilan akhir dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Norwich City pada julai lalu. 

Namun begitu dia akan terus mengikuti skuad kendalian Pep Guardiola sehingga tamat kempen Liga Juara-Juara UEFA, musim ini. Perlawanan seterusnya mereka akan bertemu Lyon di peringkat suku akhir.

Bersama The Cityzen, pemain kelahiran Sepanyol ini telah merekodkan 85 gol dan 154 bantuan gol. Selain itu, pemain berstatus lagenda ini telah menjulang empat trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), dua trofi Piala FA dan lima trofi Piala Liga.

Sementara itu, dalam laporan yang sama Lazio yang menamatkan saingan Serie A di tangga ke-4 musim 2019/20 turut meluahkan keyakinan dapat mengekalkan penyerang bintang, Ciro Immobile – penjaring terbanyak Serie A dengan rekod 36 gol.

Foto: Manchester City

komen