Artikel

Bagaimana Arsenal Boleh Manfaatkan Kehadiran Coutinho? – Ini Perkongsian Jurgen Klopp

Bekas pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho semakin kuat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan kendalian Mikel Arteta iaitu Arsenal.

Ketika ini Coutinho yang merupakan pemain FC Barcelona bermain secara pinjaman bersama Bayern Munich.

Dia telah membuat 35 penampilan bersama skuad Die Roten, menjaringkan 9 gol dan melakukan 8 bantuan gol sekaligus membantu Bayern memenangi Piala Jerman dan Bundesliga 2019/20.

Walaupun menampilkan prestasi yang dikirakan cemerlang bersama kelab gergasi Jerman tersebut, Bayern telah membuat keputusan tidak akan menandatangani Countinho secara tetap.

Dan menurut wartawan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan Barcelona sedang menawarkan khidmat pemain Brazil itu kepada Arsenal.

Desas-desus perpindahan Coutinho ke Arsenal secara pinjaman turut mendapat perhatian jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp yang juga bekas jurulatihnya ketika masih bermain di Anfield.

Dalam satu temu ramah, Klopp menerangkan bahawa pemain berusia 28 tahun itu merupakan pemain tengah yang versatil atau bahasa mudahnya, serba boleh – sebagai attacking midfielder, centre midfielder dan juga central winger.

Selain itu, Countinho juga mempunyai kebolehan melencongkan bola tepat ke bucu gol dari luar kotak penalti menerusi kaki kanannya sepertimana bekas lagenda Juventus, Alessandro del Piero. 

Coutinho ketika bermain bersama Liverpool tahun 2017.

“Dia jarang-jarang bermain di posisi No.10 kegemarannya bersama kami, dia boleh bermain (posisi) No.8 dengan cemerlang dan juga sayap kiri dengan baik, (ini) kerana dia cukup hebat ketika (berada) di situasi ruang sempit, tetapi (juga) sangat laju ketika (bermain) di ruang luas.

“Sejak Alessandro del Piero, yang merembat bola ke bucu (gol) daripada posisi yang sama, saya tidak (pernah) lihat pemain lain yang boleh melakukan perkara yang sama, tarik bola ke dalam (kotak penalti) dari (belah) kiri dalam situasi (ruang) sempit.” jelas Klopp dalam Football London yang memetik sumber daripada laman Kicker.

Peminat-peminat The Gunners dapat menjangkakan pemain tersebut akan bermain di posisi No.10 atau attacking midfielder sekiranya Arteta memainkan formasi 4-2-3-1.

Antara formasi lain yang digunakan Arteta adalah sistem 3-4-3. Di dalam sistem ini, besar kemungkinan Coutinho akan diletakkan  sebagai central midfielder No.8 atau memainkan peranan No.10 di sayap kiri.

Apa yang penting, sekiranya kehadiran Coutinho yang juga seorang pemain licik dan lincah ke kelab berpangkalan di Kota London ini direalisasikan, Arteta pastinya dapat menyelesaikan masalah kronik yang dihadapi Arsenal musim 2019/20 iaitu corak permainan yang kurang kreatif.

Foto: Liverpool & Bayern Munich

komen