Written by 9:43 am Malaysia

Sanusi Tertarik Dengan Konsep Milikan ‘Kedah FC’ Melalui Koperasi

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor menerima banyak cadangan penukaran badan induk bola sepak Kedah daripada Football Association (FA) kepada Football Club (FC).

Antara cadangan yang menarik perhatian beliau yang juga Menteri Besar Kedah adalah menukarkan KFA kepada syarikat sendirian berhad dan memilikkan syarikat tersebut menerusi sebuah koperasi.

Melalui koperasi tersebut, peminat-peminat skuad Helang Merah boleh memohon mendaftar menjadi ahli dengan bayaran yang ditetapkan. Yuran pendaftaran yang terkumpul digunakan untuk membiayai kos pengoperasian ‘Kedah FC’ itu kelak. 

Skuad Kedah ketika bertemu Terengganu FC dalam saingan CIMB Liga Super 2020. Foto: Kedah FA

“Apabila pasukan bola sepak ini perlu tubuhkan syarikat sendirian berhad iaitu FC (football club), kita terima banyak cadangan dan koperasi anak Kedah ini kemukakan satu tawaran yang pada pandangan saya amat baik.

“…iaitu mengendalikan sebuah FC sendirian berhad ini melalui milikan bersama sebuah koperasi yang melibatkan beratus ribu ahli dengan peminat-peminat akan didaftar sebagai ahli koperasi,” katanya dipetik daripada Bernama.

Kesebelasan utama FC Barcelona.

Cadangan milikan itu hampir sama seperti yang dipraktiskan oleh gergasi Sepanyol, FC Barcelona. Kelab yang terkenal dengan slogan ‘mes que un club’ itu dimiliki secara bersama oleh para peminatnya.

Uniknya, setiap enam tahun sekali, individu-individu yang berumur 18 tahun ke atas dan menjadi ahli kelab mempunyai peluang untuk mengundi calon presiden yang akan menentukan halatuju Barcelona dalam pilihanraya yang diadakan.

Selain daripada cadangan milikan secara koperasi, Sanusi juga sedia menerima tawaran daripada syarikat-syarikat atau hartawan yang ingin mengadakan kerjasama atau memiliki pasukan Kedah secara mutlak.

Untuk makluman, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menggesa semua pasukan Liga Malaysia untuk menswastakan pasukan termasuk pemisahan daripada FA kepada FC.

Foto: Kedah FA

(Visited 115 times, 1 visits today)
Close