Artikel

Pada Awalnya Wenger Tertarik Dengan Projek Barcelona, Kemudiannya..

Bekas pengurus berbangsa Perancis, Arsene Wenger dilaporkan mendapat beberapa tawaran untuk kembali menguruskan kelab bola sepak dan antaranya adalah kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Menurut beberapa laporan media eropah yang memetik sumber daripada portal sukan berpangkalan di Perancis, Le10Sport, dipercayai bekas pengendali berusia 70 tahun ini amat tertarik mengenai projek baharu yang dibentangkan dalam siri perbincangan awal antara Wenger dan Barcelona.

Namun selepas beberapa siri perbincangan di antara kedua-dua pihak, Wenger dilaporkan menolak tawaran tersebut dan mahu kekal bersama badan induk bola sepak dunia, FIFA sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global.

Quique Setien. Foto: FC Barcelona

Barcelona dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pengurusnya, Quique Setien. Bekas pengurus Real Betis ini terlepas gelaran kejuaraan La Liga 2019/20 kepada seteru Barca iaitu Real Madrid.

Bagaimanapun, dengan situasi Wenger telah menolak tawaran untuk menguruskan Barcelona, dijangka Setien akan kekal di Stadium Nou Camp pada saingan musim depan, musim 2020/21.

Arsene Wenger ketika menguruskan Arsenal sekitar tahun 2013

Untuk rekod, Wenger merupakan pengurus skuad The Gunners bermula tahun 1996 sehingga tahun 2018. Ketika menguruskan Arsenal, Wenger mendapat perhatian peminat bola sepak dunia apabila membawakan corak permainan berasaskan hantaran pendek dan pengusaan bola.

Malah beliau yang turut digelar sebagai Le Professeur menjadi antara pengurus awal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menerapkan falsafah permainan dan diet pemakanan yang ketat kepada para pemain.

Selain itu, Wenger juga cukup cermat dalam menguruskan dana serta bijak dalam merekrut pemain-pemain muda berbakat untuk diketengahkan dalam saingan bola sepak di England.

Hasil daripada gaya pengurusannya, Wenger telah melahirkan beberapa pemain bintang seperti Thierry Henry, Cesc Fabregas dan Robin van Persie serta membawa Arsenal menjulang tiga kejuaraan EPL dan tujuh trofi Piala FA England. 

Foto: Arsenal

komen