Written by 9:43 am Malaysia

Yakult dan The Sekolah Bola Jalin Kerjasama Untuk Pembangunan Akar Umbi

Yakult (M) Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama The Sekolah Bola selama setahun, semalam. MoU tersebut bertujuan untuk memupuk bakat kanak-kanak dan remaja dalam sukan bola sepak bermula dari kategori akar umbi. Dalam persefahaman ini, pemain bola sepak berumur 12 tahun dan ke bawah dari The Sekolah Bola berpeluang mendaftar untuk menghadiri kem latihan bola sepak bersama kelab bola sepak di Jepun apabila situasi Covid-19 menjadi optimistik. Mekanisme untuk pemilihan pemain sedang ditubuhkan dan akan diumumkan selepas ia ditentukan. 

Pada majlis ini, Yakult Malaysia diwakili oleh Pengarah Urusan, En. Hiroshi Hamada dan The Sekolah Bola diwakili oleh Pengasas, En. Muhamad Yazid Yahaya. Majlis menandatangani MoU turut dihadiri oleh En. Halim Bin Saad, Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, dari Kementerian Pendidikan Malaysia, wakil dari Bolabros, En. Paul Raj Thurairaj, Tigre Football, En. Norikhzan Ahmad Yahaya, dan pihak pengurusan Akademi Bola Sepak Brainy Bunch, En. Azmir Suria. 

Menurut Hiroshi Hamada, “Misi syarikat kami adalah untuk membawa kesihatan dan kebahagiaan kepada orang ramai dan salah satu cara yang boleh kami lakukan adalah melalui sukan. Mungkin anda tidak dapat mengaitkan minuman probiotik seperti Yakult dengan sukan, tetapi terdapat kajian saintifik yang telah menunjukkan kepentingan pengambilan probiotik ketika bersukan atau pun ketika menjalankan aktiviti fizikal yang berat. 

Ini kerana selepas bersukan, imunisasi badan kita akan menjadi lemah untuk sementara dan ini akan menyebabkan kita terdedah dengan risiko selsema. Minum Yakult selepas aktiviti sukan akan meningkatkan imunisasi kita dan mengurangkan risiko mendapat jangkitan. Ini terbukti dengan penyelidikan yang dijalankan di UK oleh Prof. Michael Gleeson dari Universiti Loughborough terhadap sekumpulan atlet yang menjalani latihan sukan yang intensif. Sudah tentu, seperti yang diketahui umum, pengambilan Yakult juga dapat membantu meningkatkan fungsi usus kita dan ini telah diakui dalam Akta Makanan dan Peraturan sejak 2017.” 

“Sebagai Perintis Probiotik, Yakult bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan kesihatan sistem pencernaan yang baik dan imunisasi yang kuat, kepentingan mikrobiota usus yang sihat dan seimbang serta peranan faktor pemakanan terutamanya probiotik. Ketika kita sedang menghadapi penularan penyakit berjangkit seperti Covid-19 dan influenza, kita perlu menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjaga sistem imun mereka dan salah satu caranya adalah dengan mengamalkan pengambilan Yakult secara berterusan. 

Kami menjangkakan lebih banyak kajian akan dijalankan yang dapat menyingkap lebih banyak maklumat mengenai manfaat kesihatan probiotik dan kesan positifnya terhadap mikrobiota usus, sistem imun dan kesihatan secara keseluruhannya pada masa yang akan datang”, tambahnya lagi. 

Seperti yang dilaporkan dalam suatu kajian yang terbaru oleh Prof. Madya Dr. Mahenderan Appukutty dari UiTM Shah Alam, pengambilan minuman probiotik Yakult secara berterusan dapat merangsang gelombang otak Theta (relaksasi) dan Delta (perhatian) dalam kalangan pemain bola sepak. Ini berpotensi untuk menyumbang kepada latihan yang lebih bagus, fungsi kognitif dan peningkatan psikologikal dalam senaman dalam kalangan atlet. 

Rakan kerjasama, Pengasas The Sekolah Bola, Muhamad Yazid Yahaya berkata “Kami ingin merealisasikan impian anak-anak menjadi pemain bola sepak profesional melalui penggabungan sukan dan pendidikan. Selain daripada latihan sukan, kami juga memberi bekalan minuman probiotik Yakult kepada pemain-pemain di akademi kami selepas setiap sesi latihan untuk meningkatkan imuniti dan fungsi usus mereka”. Sebagai rekod, program-program The Sekolah Bola juga mendapat sokongan dari Kementerian Pendidikan sejak 2 tahun yang lalu. 

Sesi pertukaran jersi telah berlangsung selepas majlis rasmi menandatangani persefahaman. Semua tetamu jemputan turut berpeluang menikmati minuman susu kultur probiotik Yakult sebelum majlis bersurai. 

Aktiviti ini adalah sejajar dengan falsafah syarikat Yakult iaitu mencegah adalah lebih baik dari mengubati, usus yang sihat membawa kepada panjang umur dan untuk menyampaikan kesihatan yang baik kepada seramai orang yang boleh.  

Minuman susu kultur probiotik Yakult dinikmati secara harian oleh 40 juta orang di 40 buah negara seluruh dunia kerana kebaikan bakteria probiotiknya bernama strain Shirota, yang terbukti secara saintifik dapat melancarkan pergerakan usus, meningkatkan imuniti dan melindungi daripada jangkitan. Minuman Yakult dibuat sepenuhnya di Malaysia di sebuah kilang berteknologi canggih di Seremban, Negeri Sembilan dan disahkan Halal oleh JAKIM.

(Visited 63 times, 1 visits today)
Close