Artikel

Moto2: Hafizh Rempuh Motor Bastianini, Tiada Kecederaan Serius Selepas Pemeriksaan

Selepas melakukan pemeriksaan awal di pusat perubatan, pelumba negara, Hafizh Syahrin dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Bagaimanapun, menurut makluman daripada media MotoGP, dia telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu Hafizh gagal menamatkan perlumbaan GP Austria apabila terlibat dalam satu kemalangan ngeri hari ini.

Ianya bermula dengan pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini gagal mengawal jenteranya semasa selekoh dan terjatuh di atas trek.

Malang sekali buat Hafizh yang bermula daripada petak ke-20 datang daripada belakang, berada di kedudukan blind spot sekaligus gagal mengelak jentera milik Bastianini yang terseret ke tengah litar.

Rempuhan terus terhadap jentera milik Bastianini tersebut menyebabkannya terpelanting ke arah hadapan. Jentera milik Hafiz pula hancur berkecai, terbelah dua. 

Mujurlah Hafizh yang terpelanting kemudiannya terseret di atas trek tidak dilanggar oleh pelumba-pelumba lain. Selain Hafizh dan Bastianini, Edgar Pons dan Andi Farid Izdihar turut sama terlibat dalam kemalangan tersebut.

Sejurus kemalangan tersebut, bendera merah dinaikkan dan perlumbaan dihentikan untuk memberikan laluan kepada kru untuk membersihkan litar.

Foto: MotoGP

komen