Written by 7:00 pm Bola Sepak, Malaysia

Apakah Kegunaan Turf-Tec Stress Detection Glasses Yang Digunakan JDT?

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sering melabelkan diri mereka sebagai “We are a Pioneer, not a Museum” atau dalam bahasa mudahnya sebagai pelopor bola sepak di tanah air.

Pasukan yang terkenal dengan julukan skuad Harimau Selatan sentiasa mempelopori idea-idea baharu untuk memperkasakan pasukannya tidak kira di dalam atau luar padang.

Antaranya JDT merupakan kelab pertama hadir dengan pusat latihan berkelas dunia, menggunakan rumput jenis moden zeon zoysia untuk padang bola sepaknya dan membina pusat pemulihan untuk para pemain dengan kelengkapan canggih seperti Airpod Oxygen dan Infrared Sauna Theraphy.

Dalam satu hantaran yang dilakukan oleh juara Liga Super Malaysia sebanyak enam kali pada hari ini, JDT berkongsikan mengenai penggunaan cermin mata canggih, Turf-Tec Stress Detection Glasses untuk pemeriksaan padang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Kegunaan Turf-Tec Stress Detection Glasses

Tujuannya dicipta adalah untuk memberikan si pemakai untuk mengenalpasti kawasan padang yang mempunyai rumput bermasalah dengan lebih awal.

Menerusi cermin mata hasil teknologi daripada saintis NASA ini, si pemakai dapat melihat kawasan-kawasan rumput yang kekurangan air, berpenyakit, ditumbuhi rumput pengacau atau diganggu oleh serangga.

Contoh pandangan menerusi Turf-Tec Stress Detection Glasses

Apabila memakai cermin mata ini, ia akan menghilangkan gelombang warna hijau. Si pemakai hanya melihat segala-galanya menerusi warna ungu sahaja. Ia boleh digunakan untuk melihat kematangan rumput dari dekat dan juga jauh.

Beginilah pandangan si pemakai Turf-Tec Stress Detention Glasses. Kawasan rumput yang kering dapat dikenalpasti dengan mudah.

Rumusan

Hasil penggunaan cermin mata ini, JDT dapat mendiagnosis keadaan padang di SSI dengan lebih efektif. Hal ini dapat memastikan kualiti padang SSI kekal berada dalam keadaan terbaik sepanjang masa sekaligus menjimatkan masa dan duit untuk penyelenggaraan.

Kesimpulannya, kami melihat JDT menjadikan slogan “We are a pioneer, not a museum” bukanlah semata-mata cakap kosong. Penggunaan Turf-Tec Stress Detection Glasses melambangkan komitmen tinggi JDT di bawah teraju Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim untuk menggapai lebih kejayaan di dalam dan luar padang.

Foto: JOHOR Southern Tigers

(Visited 373 times, 1 visits today)
Close