Written by 12:35 pm Bola Sepak, Eropah

Maguire Anggap Pasukan Terbaik Tersingkir Saingan Liga Europa 2019/20

Kapten dan pemain pertahanan, Harry Maguire menganggap Manchester United merupakan pasukan yang beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan menentang Sevilla FC, dalam saingan separuh akhir Liga Europa pada awal pagi tadi.

Sevilla bangkit menjaringkan dua gol menerusi Suso (26’) dan Luuk de Jong (78’) sekaligus memadamkan jaringan pendahuluan penalti oleh Bruno Fernandes seawal minit ke-9.

Red Devil terpaksa menerima hakikat ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Europa. Impian mereka untuk mengulangi kejayaan merangkul anugerah yang sama seperti musim 2016/17 terkubur sama sekali di Cologne, Jerman.

“Kami telah mencipta banyak peluang. Kami perlu menang perlawanan ini. Pasukan terbaik tewas dan mereka menghukum kami kerana terlepas peluang (menjaringkan gol). Kami tajam di hadapan gol sepanjang tahun ini tetapi tidak pada malam ini.” katanya kepada BT Sport.

Merujuk kepada statistik, Manchester United merekodkan sebanyak 19 percubaan ke arah gawang lawan berbanding Sevilla yang hanya merekodkan 9 percubaan. Manchester United juga memiliki 4 sepakan penjuru melebihi satu sepakan berbanding Sevilla.

Bagaimanapun, kesilapan Manchester United dalam perlawanan ini adalah mereka naik tinggi ke atas untuk memberikan tekanan kepada Sevilla dalam usaha untuk mendapatkan gol.

Leka berada di garisan yang tinggi dan membenarkan pihak lawan menguasai sekitar 53% pegangan bola menyebabkan Sevilla berjaya mengambil peluang untuk menjaringkan gol walaupun memiliki peluang yang kurang daripada Manchester United.

Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga skuad berpangkalan di Kota Manchester disingkirkan pada saingan separuh akhir sepanjang musim ini. Sebelum ini mereka ditendang keluar oleh Manchester City dalam saingan Piala Liga dan Chelsea dalam saingan Piala FA.

Foto: Europa League

(Visited 15 times, 1 visits today)
Close