Written by 3:29 am Bola Sepak, Eropah

Messi: Saya Bukan Mahu Gaji ‘Sedap’ Tetapi Mahu Pasukan Yang Mantap

Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi dilaporkan telah menyatakan secara serius kepada majikannya untuk keluar daripada FC Barcelona, lapor Esporte Interativo.

Sumber dalaman yang rapat kepada Messi berkata dia tidak pernah melihat pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali itu begitu bersungguh-sungguh mahu meninggalkan Stadium Nou Camp sejak daripada zaman remajanya.

Keputusan Messi untuk meninggalkan skuad La Blaugrana dibuat selepas dimalukan oleh wakil Jerman, Bayern Munich apabila tewas 8-2 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara UEFA, awal sabtu lalu.

Awal musim lalu, Messi berkata bahawa dia tidak bersama Barcelona semata-mata untuk menerima gaji yang besar. Tetapi dia mahu melihat Barcelona memulakan projek membina sebuah pasukan baharu yang mantap dan mampu bersaing untuk merebut kejuaraan.

Bagaimanapun, Messi atau nama julukannya La Pulga melihat majikannya tidak begitu serius dalam melaksanakan projek tersebut dan hasilnya mereka menamatkan saingan musim 2019/20 tanpa sebarang trofi serta dimalukan oleh Bayern Munich.

Perkara ini yang membuatkan Messi yang juga penyerang skuad kebangsaan Argentina ini kecewa terhadap majikan pasukannya.

Walaupun Barcelona mengharungi saingan musim ini dengan prestasi yang agak suram, Messi masih merekodkan statistik yang memberansangkan dengan menjaringkan 31 gol dan menghasilkan 26 bantuan gol dalam semua pertandingan.

Untuk saingan La Liga sahaja, penyerang berusia 33 tahun ini mengungguli carta penjaring terbanyak (25 gol) dan juga pencetak bantuan gol terbanyak (21 assist) musim ini.

Selain daripada Messi, dilaporkan pemain-pemain utama yang lain seperti Gerard Pique turut sedia angkat kaki daripada pasukan Barcelona dan memberi laluan kepada pemain-pemain muda.

Foto: FC Barcelona

(Visited 65 times, 1 visits today)
Close