Written by 2:58 pm Bola Sepak, Eropah, MotoGP

Disebabkan Ronaldo Ke San Siro, Valentino Rossi Sokong Inter Milan

Pelumba veteran MotoGP, Valentino Rossi tidak begitu mengikuti sukan bola sepak semasa kecil namun begitu dia tetap mempunyai pasukan kegemarannya iaitu U.C. Sampdoria.

Pelumba yang terkenal dengan julukan The Doctor itu mempunyai sebabnya yang tersendiri mengapa memilih pasukan Sampdoria. Sedangkan majoriti peminat bola sepak di Itali pada masa itu hanya berkisar di antara tiga pasukan iaitu Inter Milan, A.C. Milan atau Juventus.

Valentino Rossi. Foto: Yamaha Racing

Ini kerana Rossi sangat meminati dua penyerang yang terkenal bersama Sampdoria iaitu Gianlunca Vialli dan Roberto Mancini. Namun begitu, segala-galanya berubah apabila Ronaldo Nazario menuju ke Stadium San Siro untuk bermain bersama Inter Milan.

Sejak daripada saat itu juga, Rossi menjadi peminat No.1 Inter Milan dan Ronaldo – penyerang yang sangat licik dan lincah dan cukup menggerunkan mana-mana penjaga gol yang terpaksa menghadapinya.

“Sudah semestinya Ronaldo Brazil, Ronaldo yang sebenar-benarnya kerana sejak awal lagi saya menjadi penyokong Inter kerana ketibaan Ronaldo (di San Siro).” ulas Rossi mengenai pemain bola sepak idolanya dalam satu temubual oleh BT Sport.

Ronaldo dibawa oleh Inter pada tahun 1997 daripada FC Barcelona. Perpindahannya ke Inter daripada FC Barcelona adalah sebanyak 25 juta pound – merupakan rekod perpindahan tertinggi pemain bola sepak pada masa itu.

Ronaldo semasa beraksi bersama Inter Milan

Musim pertama bersama Inter, Ronaldo berjaya memenangi UEFA Cup 1997/98. Rossi turut bercerita mengenai perlawanan akhir saingan tersebut di antara Lazio dan Inter Milan. Masih segar dalam ingatannya, Ronaldo menjaringkan gol ikonik secara solo sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-0 di Stadium Parc des Princes.

Mengambil inspirasi daripada musim tersebut, Rossi menaruh keyakinan yang tinggi terhadap skuad Inter Milan kendalian Antonio Conte yang turut diperkuatkan oleh bekas penyerang Manchester United, Romelu Lukaku untuk merangkul kejuaraan Liga Europa musim ini.

Romelu Lukaku

“Kita boleh menang kerana (mempunyai) Lukaku di hadapan gol.” tambah Rossi sebelum daripada perlawanan di antara Inter dan Shakhtar Donetsk, awal pagi tadi.

Aksi separuh akhir yang berlangsung di Espirit Arena pagi tadi berakhir dengan keputusan 5-0 di mana Lukaku dan Lautoro Martinez masing-masing menjaringkan dua gol dan satu gol lagi disumbangkan oleh Danilo D’Ambrosio.

Inter bakal bertemu Sevilla FC di RheinEnergieStadion, Jerman dalam perlawanan akhir Liga Europa yang akan berlangsung pada hari sabtu, jam 3 pagi waktu Malaysia.

Untuk rekod, Ronaldo telah menjaringkan sebanyak 34 gol semasa musim sulungnya bersama Inter manakala Lukaku pula telah menjaringkan 33 gol dalam saingan musim ini – hanya kurang satu gol untuk menyamai rekod Ronaldo.

Foto: Inter Milan

(Visited 45 times, 1 visits today)
Close