Written by 3:29 pm Lain-Lain

Hafiz Jantan, Haiqal Hanafi Bakal Dapat Sentuhan Dwayne Miller

Susulan langkah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu menempatkan kesemua atlet pecut elit kebangsaan di Bukit Jalil menyaksikan pelari sensasi negara iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi bakal mendapat bimbingan jurulatih baharu.

Perkembangan terkini itu mengakibatkan kedua-dua pemenang pingat emas Sukan SEA tersebut terpaksa meninggalkan jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.

Sehubungan dengan itu, Khairul dan Haiqal bersama-sama rakan sepasukan yang lain akan dibimbing oleh Pengarah Teknikal KOM kelahiran Amerika Syarikat, Dwayne Miller.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalah Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar menurut laporan yang dikeluarkan Bernama.

Haiqal Hanafi semasa meraikan kemenangan acara pecut 100 meter di Sukan SEA 2019

“Kita mahu atlet elit berlatih di bawah Miller seperti ditetapkan sebelum ini. Beliau mempunyai kepakaran dan kita juga membayar gaji yang tinggi kepadanya, malah beliau juga bersedia untuk melatih lebih banyak atlet.’’

“Kita akan bincang dengan Poad kerana mahu situasi menang menang, tak nak rampas atlet. Secara peribadi saya berharap mereka dapat turun berlatih di Bukit Jalil supaya dapat berlatih sebagai satu pasukan,” tambah Datuk Mumtaz lagi.

Mengulas mengenai perkembangan sama, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil turut melihat kepentingan sekiranya semua pelari elit negara dapat berlatih bersama-sama di Bukit Jalil tanpa mahu menafikan kredibiliti hebat Poad sebagai jurulatih.

“Kita bukannya mahu menidakkan kewibawaan Poad, beliau telah lahirkan atlet-atlet negara yang terbaik, boleh katakan beliau jurulatih pecut negara yang terbaik.’’

‘’Kita pernah mencadangkan supaya Poad ditukarkan ke Bukit Jalil, tetapi beliau tidak dapat datang kerana sebab-sebab tertentu.’’

‘’Atlet bersedia untuk berhijrah ke sini, bagaimanapun, kita akan membuat perbincangan melibatkan MSN, atlet dan jurulatih agar semua pihak faham mengenai hala tuju kita. Sekarang pun mereka sedang menjalani latihan khas selama dua minggu di bawah Miller sebagai proses transisi.”

Miller hadir ke Malaysia dengan reputasi hebat berikutan pengalaman luasnya selama 30 tahun dalam bidang kejurulatihan serta menjadi perintis dalam membantu pelari Amerika Syarikat, LaShawn Merritt memenangi dua pingat emas di Sukan Olimpik 2008 yang diadakan di Beijing, China.

Foto: Kuala Lumpur 2017

(Visited 15 times, 1 visits today)
Close