Written by 5:09 pm Bola Sepak, Eropah

5 Pemain Muda Berbakat Yang Diangkat oleh Ronald Koeman

Ronald Koeman baru sahaja diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona menggantikan Quique Setien yang dipecat baru-baru ini.

Jurulatih berpengalaman berusia 57 tahun ini memulakan kerjaya kejurulatihannya sebagai penolong jurulatih di Barcelona pada tahun 1997 sebelum melatih pelbagai pasukan di eropah.

Salah satu falsafah menarik mengenai Koeman dalam melatih mana-mana pasukan, beliau suka mengangkat pemain-pemain muda berbakat untuk membarisi kesebelasan utama skuadnya. 

Hasil daripada sentuhan Koeman tersebut, beberapa daripadanya berhasil mencapai potensi penuh dan menempatkan diri kalangan pemain terbaik dunia masa kini. Berikut adalah senarai lima pemain tersebut:

5. Victor Wanyama

Victor Wanyama bersama Spurs musim 2016

Pemain kelahiran Nairobi, Kenya ini menyertai Southampton FC pada tahun 2013 iaitu setahun sebelum ketibaan Ronald Koeman. Musim pertamanya tidak memberikan impak yang besar kepada pasukan kerana ditimpa kecederaan walaupun diturunkan sebanyak 24 kali dalam saingan bola sepak Inggeris.

Bagaimanapun apabila Koeman tiba di Stadium Saint Marry pada Jun 2014, segala-galanya berubah. Defensive midfielder yang berumur 23 tahun ketika itu dijadikan tonggak utama skuad Koeman dan dia telah memberikan impak yang lebih besar kepada Southampton. Dia berhasil membuat penampilan sebanyak 32 kali dan menjaringkan 3 gol. 

Wanyama meneruskan kecemerlangan yang masa musim berikutnya, di mana Southampton mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-6 – pencapaian terbaik The Saints dalam sejarah. Prestasinya menarik perhatian kelab berpangkalan di London, Tottenham Hotspur dan dia dibeli pada harga 11 juta pound selain ditawarkan kontrak selama 5 tahun.

4. Dominic Calvert-Lewin

Dominic Calver-Lewin pada tahun 2016

Dominic Calvert-Lewin adalah penyerang berbakat kelahiran England. Merupakan graduan akademi Sheffield United dan dia ditandatangani oleh Everton pada tahun 2016 – tahun yang sama Ronald Koeman dilantik menjadi pengurus Everton.

Koeman tidak menunggu lama untuk menurunkan penyerang berusia 19 tahun ketika itu dalam beberapa perlawanan. Walaupun bergelut dengan sedikit masalah kecederaan pada musim pertamanya bersama skuad The Toffees, Calvert masih meraih 11 penampilan dan menjaringkan satu gol.

Bagaimanapun, saingan musim berikutnya – musim 2017/18 – menyaksikan Koeman dipecat daripada jawatan pengurus Everton pada bulan oktober. Akan tetapi, pengganti Koeman meneruskan kesinambungan menggunakan Calvert sebagai salah seorang penyerang utama Everton di musim 2017/18. 

Hasilnya Calvert yang berusia 20 tahun ketika itu telah melakukan 40 penampilan dan menjaringkan 7 gol.

3. Frenkie de Jong

Frenkie de Jong ketika debut menentang Peru 2018

Sebelum pemain muda Belanda ini menjadi sensasi ketika saingan Liga Juara-Juara UEFA 2018/19, Ronald Koeman yang menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Belanda telah memberikan aksi debut antarabangsa kepada de Jong ketika menentang Peru pada september 2018.

Ketika itu, de Jong yang berumur 21 tahun diturunkan menggantikan Georginio Wijnaldum pada separuh masa kedua. Kemasukannya berhasil memberikan satu assist kepada Memphis Depay sekaligus membantu Belanda bangkit dan memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1. 

Semenjak itu, de Jong menjadi tonggak utama buat skuad Oranje sehingga ke hari ini dan kini merupakan pemain FC Barcelona di bawah kendalian Koeman.

2. Sadio Mane

Sadio Mane di awal pembabitan bersama Liverpool

Ronald Koeman merupakan individu yang berperanan membawa Sadio Mane yang berusia 22 tahun ketika itu ke Southampton pada september 2014. Sebelum itu Mane merupakan pemain Red Bull Salzburg yang bersaing dalam kancah Liga Austria.

Walaupun pertama kali beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL), itu tidak menghalang Koeman daripada memberikan kepercayaan kepada Mane untuk mengisi tempat dalam kesebelasan utama skuadnya. Mane berjaya menjaringkan 10 gol daripada 32 penampilannya dalam keseluruhan pertandingan.

Musim berikutnya, Mane tampil lebih garang di hadapan gol dengan menggungguli carta penjaring terbanyak Southampton dengan rekod 15 gol daripada 40 penampilan dan membantu The Saints menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-6.

Pada jun 2016, Mane telah ditandatangani oleh Liverpool pada harga 34 juta pound dan bersama The Kop kendalian Jurgen Klopp, dia telah menjulang tahkta EPL, Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Dunia Kelab.

1. Virgil van Dijk

van Dijk ketika beraksi bersama Southampton

Pertahanan tinggi lampai kelahiran Belanda ini juga merupakan pemain yang dibeli sendiri oleh Ronald Koeman ketika mengemudi Southampton. Koeman mendapatkan khidmat van Dijk yang berumur 24 tahun pada ketika itu daripada kelab liga Scotland, Celtic.

Sepertimana Sadio Mane, pertahanan dengan ketinggian 1.93 meter ini turut menjadi tonggak utama Koeman sejak tiba di Stadium Saint Marry. Mempunyai kelebihan fizikal, kaki kanan yang kuat serta kelajuan, van Dijk perlahan-lahan membina reputasinya sebagai pertahanan kental Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menyukarkan penyerang-penyerang melepasinya.

Januari 2017 van Dijk yang juga kapten Southampton dibeli oleh Liverpool dengan harga 75 juta pound. Kehadirannya telah berjaya membantu Liverpool merangkul kejuaraan EPL, Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Dunia Kelab. Pada tahun 2019 van Dijk hampir-hampir memenangi anugerah individu iaitu Ballon d’Or namun tewas kepada penyerang Barcelona, Lionel Messi.

(Visited 299 times, 1 visits today)
Close