Artikel

MotoGP: Potong di selekoh akhir, Oliveira raih kejuaraan pertama di Styria GP

Pelumba Red Bull KTM Tech3, Miguel Oliveira dinobatkan juara saingan MotoGP buat pertama kali selepas memenangi perlumbaan epik Styria GP, semalam.

Kemenangan itu dirangkul Miguel apabila dia berjaya memintas dua pelumba iaitu Jack Miller dan Pol Espargaro pada selekoh terakhir di Litar Red Bull Ring, Spielberg.

Ini merupakan kemenangan pertamanya yang mula beraksi dalam saingan kelas premier MotoGP sejak musim lalu dan juga kemenangan pertama buat jentera KTM di litar ini.

Sementara itu, dalam perlumbaan tersebut pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales tidak dapat menamatkan perlumbaan kerana jenteranya menghadapi masalah brek.

Pada pusingan ke-16 pelumba Sepanyol itu terpaksa membuat keputusan melompat daripada motosikalnya untuk menyelamatkan diri apabila brek tidak berfungsi sama sekali.

Ketika itu dia sedang menunggang pada kelajuan sekitar 200km/j. Bagaimanapun, Vinales tidak menghadapi sebarang kecederaan dan dia bingkas bangun manakala jentera M1 miliknya terbakar setelah merempuh bahagian tepi litar.

Ekoran daripada kejadian tersebut, bendera merah dinaikkan dan perlumbaan dihentikan seketika. Perlumbaan bersambung semula dengan baki 12 pusingan.

Foto: Red Bull KTM Tech3

komen