Written by 9:14 pm Bola Sepak, Eropah

10 Penghijrahan Paling Merugikan Musim 2019/20 – ‘Top 3’ Adalah Pemain La Liga

Tiga tempat teratas dalam senarai 10 Penghijrahan Paling Merugikan Musim 2019/20 diduduki oleh pemain-pemain dalam saingan La Liga.

Manakala empat penghijrahan yang lain terdiri kalangan pemain-pemain yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Majoriti pemain yang tersenarai atas dasar harga yang dilaburkan tidak sepadan dengan impak yang diberikan pemain. Tambahan pula, pemain-pemain ini lebih banyak memanaskan bangku simpanan berbanding beraksi di atas padang.

Tanpa berceloteh dengan lebih panjang, berikut adalah senarai 10 Penghijrahan Paling Merugikan Musim 2019/20:

10. Hirving Lozano (PSV Eindhoven – Napoli, Harga: €42 Juta)

Anda masih ingat kepada Lozano? Pemain sayap berusia 25 tahun ini mencuri tumpuan ketika saingan Piala Dunia 2018 bersama skuad kebangsaan Mexico. Namun selepas daripada kejohanan di Rusia tersebut, Lozano mengalami penurunan prestasi di kelabnya, PSV Eindhoven.

Bagaimanapun pada jendela perpindahan musim panas 2019, Napoli dengan beraninya membuat keputusan untuk menandatangani pemain ini dengan rekod perpindahan termahal kelab dan diberikan kontrak selama lima tahun.

Napoli mendapatkan khidmat Lozano untuk menambahkan kekuatan serangannya apatah lagi pemain ini telah menjaringkan 40 gol dan menghasilkan 23 bantuan gol sepanjang dua tahun bersama PSV. Namun bersama Napoli, hanya 5 gol dan 2 bantuan gol diberikan oleh Lozano untuk musim 2019/20.

9. Joelinton (Hoffenheim – Newcastle United, Harga: €44 Juta)

Seorang lagi pemain yang berhijrah dan dibayar dengan rekod perpindahan kelab. Di tempat ke-9 adalah penyerang muda kelahiran Brazil iaitu Joelinton yang berpindah daripada Hoffenheim ke Newcastle United pada harga €44 juta. Dia ditawarkan kontrak selama 6 tahun.

Ketika beraksi bersama Die Kraichgauer dalam saingan Bundesliga musim 2018/19, prestasi penyerang muda ini telah menarik perhatian ramai apabila mengumpul 8 gol dan 8 bantuan gol daripada 33 penampilan pada musim tersebut.

Tetapi setelah dibawa masuk ke Magpies dengan rekod perpindahan kelab, dia sekadar merekodkan 2 gol dan 2 bantuan gol walapun tampil hampir kesemua perlawanan bersama Newcastle United sepanjang musim ini.

8. Tanguy Ndombele (Lyon – Spurs, Harga: €60 Juta)

Pemain kelahiran Perancis ini merupakan pemain termahal yang pernah dibeli oleh kelab berpangkalan di utara London, Tottenham Hotspur. Namun begitu, pemain berusia 23 tahun ini tidak memberikan impak yang besar kepada pasukan.

Berhasil melakukan 29 penampilan sepanjang musim ini namun kelibatnya dalam kesebelasan utama semakin berkurangan sejak ketibaan pengurus berbangsa Portugal, Jose Mourinho yang hadir pada november lalu menggantikan Mauricio Pochettino.

7. Joao Cancelo (Juventus – Man City, Harga: €65 Juta)

Manchester City kendalian Pep Guardiola membuat keputusan mendapatkan khidmat pertahanan kanan Portugal ini untuk memperkukukan barisan pertahanannya bagi mengharungi saingan 2019/20.

Danilo turut disertakan dalam swap deal ini menjadikan Cancelo sebagai pemegang rekod perpindahan pertahanan kanan paling mahal di dunia iaitu berharga €60 juta. 

Bagaimanapun harga mahal itu tidak setimpal dengan aksi yang disajikan dan Cancelo masih tidak dapat mencabar tempat yang sering diisi oleh Kyle Walker di Manchester City. 

6. Luka Jovic (Benfica – Real Madrid, Harga: €70 Juta)

Penyerang muda Serbia ini amat menyerlah ketika bermain bersama Eintracht Frankfurt secara pinjaman daripada Benfica. Selama dua musim di Jerman, Jovic merekodkan 36 gol dan 9 bantuan gol daripada 75 penampilan dalam kesemua pertandingan domestik.

Disebabkan itu, kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid sanggup mengambil keputusan untuk membeli pemain ini dengan harga €70 juta. Bagaimanapun, pengurus Los Blancos, Zinedine Zidane masih tidak memberikan kepercayaan penuh kepadanya untuk beraksi di posisi penyerang secara tetap.

Walaupun Jovic meraih 27 penampilan musim ini, Karim Benzema kekal menjadi penggempur utama Real Madrid. Untuk rekod, Jovic hanya merekodkan 2 gol dan 2 bantuan gol dalam kesemua pertandingan musim ini.

5. Matthijs de Ligt (Ajax – Juventus, Harga: €75 Juta)

Nama de Ligt meletup semasa musim 2018/19. Manakan tidaknya, dia yang berusia 19 tahun ketika itu telah dilantik sebagai kapten pasukan dan sebahagian daripada skuad muda Ajax Amsterdam yang mara ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA.

Walaupun gagal mara ke perlawanan akhir, dia berjaya merangkul kejuaraan bergandi di peringkat domestik pada musim tersebut. Selain itu, pertahanan tengah berusia 21 tahun ini merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Belanda yang bergandingan bersama pertahanan kental Liverpool, Virgil van Dijk.

Juventus yang melihat pemain-pemain di barisan pertahanannya semakin menua membuat keputusan untuk mendapatkan de Ligt daripada Ajax namun begitu musim 2019/20 menyaksikan pertahanan berbakat ini sekadar tersenyum kelat di bangku simpanan setiap kali perlawanan.

4. Nicolas Pepe (Lille – Arsenal, Harga: €80 Juta)

Penyerang sayap, Nicolas Pepe dibeli dengan rekod perpindahan paling mahal buat kelab berpangkalan di Kota Londan, Arsenal mengatasi rekod perpindahan penyerang prolifik, Pierre-Emerick Aubameyang (sekitar €64 juta) daripada Borussia Dortmund.

Malah kalangan penyokong The Gunners meramalkan Pepe menjadi The Next Henry untuk Arsenal berdasarkan corak permainannya selain daripada perkongsian kewarganegaraan, Perancis.

Ramalan hanya sekadar ramalan, Pepe bergelut untuk menyesuaikan diri dalam kancah bola sepak England serta gagal meraih keyakinan samada Unai Emery mahupun Mikel Arteta untuk diturunkan sebagai tonggak kesebalasan utama setiap perlawanan.

3. Eden Hazard (Chelsea – Real Madrid, Harga: €100 Juta)

Penghijrahan Eden Hazard ke Kota Madrid sepatutnya menjadi kemuncak kerier bola sepaknya setelah tujuh tahun beraksi bersama Chelsea. Malah kedatangannya ke Real Madrid ditunggu-tunggu sejak pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus pada tahun 2018.

Amat memeranjatkan apabila penyerang sayap lincah kelahiran Belgium ini tiba ke kem pramusim 2019/20 dengan berat badan yang berlebihan dan tidak cergas. Dan apabila bermulanya saingan La Liga, Hazard bergelut untuk menampilkan persembahan berbisanya sepertimana di Chelsea dan di situ bermula pula episod dia dihimpit dengan kecederaan demi kecederaan.

Walaupun Real Madrid cemerlang pada musim ini dengan merangkul Spanish Super Cup dan kejuaraan La Liga, Hazard hanya memainkan peranan yang sangat kecil iaitu tampil sebanyak 16 kali dan hanya menjaringkan satu gol dalam saingan liga musim 2019/20.

2. Antoine Griezmann (Atletico Madrid – Barcelona, Harga: €120 Juta)

Penyerang Perancis ini merupakan pemain ketiga termahal yang dibeli oleh FC Barcelona dalam sejarah penubuhan mereka. Hanya Ousmane Dembele dan Countinho berharga lebih mahal daripada Griezmann.

Penyerang ini tiba di Nou Camp bukan sahaja dengan reputasi sebagai bekas pemain handalan Atletico Madrid malahan sebagai pemenang Piala Dunia 2018 bersama skuad kebangsaan Perancis.

Namun tidak sepadan dengan harganya, Griezmann gagal meyakinkan dua pengurus iaitu Ernesto Valverde dan Quique Setien untuk menjadikannya sebagai tonggak utama pasukan dan lebih banyak bermain sebagai pemain gantian. 

1. Joao Felix (Benfica – Atletico Madrid, Harga: €126 Juta)

Penyerang muda Portugal ini menjadi bualan hangat peminat bola sepak seluruh dunia pada awal saingan bola sepak eropah musim 2019/20. Aksinya dalam saingan La Liga dan UCL sering menjadi game changer dan mampu menghadiahkan gol buat Los Rojiblancos.

Namun menjelang pertengahan musim, dia semakin sukar mendapatkan kepercayaan daripada pengurus Atletico, Diego Simeone untuk bermula dalam kesebelasan utama. Jika dilihat persembahan Felix bersama Atletico, dia tidak begitu serasi dengan sistem yang diterapkan oleh Simeone.

Malah Simeone pula semakin menggaru-garu kepala untuk mencari dimanakah posisi yang sesuai buat penyerang ini setelah bereksperimen di beberapa posisi serangan. Dan penyerang pinjaman daripada Chelsea, Alvaro Morata lebih efektif di hadapan gawang dengan merekodkan 16 gol dalam semua kejohanan musim ini berbanding Felix. 

(Visited 51 times, 1 visits today)
Close