Artikel

Lambang Pokok Melaka Belum Dipatenkan di Malaysia – Presiden MUSA

Lambang pokok Melaka yang digunakan pada logo baharu Melaka United belum dipatenkan oleh mana-mana pihak di Malaysia.

Terdahulu pihak Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) telah melancarkan logo baharu untuk Melaka United – bakal digunakan untuk saingan kancah Liga Malaysia bermula musim depan, sabtu lalu.

Bagaimanapun, lambang pokok Melaka itu menjadi topik bualan dan kritikan hangat penyokong bola sepak tempatan apabila ia dikatakan hanya diubahsuai daripada logo sebuah syarikat dari Australia, Bare Blends.

Menjawab kritikan tersebut, Presiden MUSA, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata semakan yang dibuat setakat ini, logo tersebut belum dipatenkan mana-mana pihak di Malaysia.

“Pemilihan logo baharu Melaka United adalah berdasarkan lambang pokok Melaka yang dibuat sebagai simbol penyatuan peminat dan penyokong setia bola sepak Melaka, yang menjadi kekuatan pasukan selama ini.

“Oleh itu, MUSA akan memohon untuk mendaftarkan hak cipta logo baharu itu dan hanya selepas ia diluluskan, barulah ia diguna pakai,” katanya yang juga Ketua Menteri Melaka.

Logo tersebut merupakan hasil rekaan penyokong skuad Hang Tuah, En Mohd Asri Ab Aziz yang memenangi pertandingan mereka logo MUFC yang berlangsung dari 4 hingga 20 ogos lalu.

Ketika ini Melaka United diuruskan oleh MUSA kini dalam proses pemisahan daripada persatuan untuk menjadi sebuah kelab bola sepak berstatus swasta dan bakal dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Melaka United (Melaka United FC). 

Kelab ini bakal dimiliki sepenuhnya oleh Melaka United Football Club Sdn. Bhd.

Untuk makluman, walaupun pasukan Melaka United FC akan diuruskan oleh pihak swasta, peranan MUSA tetap kekal sebagai badan yang bertanggungjawab mentadbir sukan bola sepak negeri Melaka.

Foto: Melaka United Soccer Association – MUSA

komen