Artikel

Barcelona Sedia Lepaskan Messi Asalkan Tidak Kurang Daripada €222 Juta

FC Barcelona mengangkat bendera putih untuk mengekalkan penyerang prolifiknya, Lionel Messi.

Justeru, Barca meletakkan harga tidak kurang daripada €222 juta kepada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya, lapor laman AS yang memetik sumber RAC1.

Harga tersebut jauh lebih murah berbanding klausa tebus kontrak asal yang bernilai €700 juta.

Keputusan itu dibuat oleh ahli lembaga pengarah Barca kerana tidak sanggup melihat Messi meninggalkan skuad Blaugrana secara percuma.

Terdahulu, Messi telah menghantar transfer request kepada majikannya, selasa lalu.

Messi turut mengaktifkan satu klausa di dalam kontraknya untuk membenarkan dirinya meninggalkan pasukan gergasi bola sepak Catalan secara percuma.

Terdapat pertikaian mengenai klausa tersebut di antara majikannya dan peguam kepada Messi. Bagaimanapun, ahli lembaga pengarah Barca tidak mahu memanjangkan pertikaian tersebut ke mahkamah. 

Oleh demikian, mereka sedia melepaskannya asalkan ianya mengatasi harga perpindahan Neymar ke Paris Saint Germain (PSG) pada tahun 2017 iaitu sebanyak €222 juta.

Beberapa laporan di Sepanyol mengatakan Messi sudah mengadakan perbincangan bersama bekas jurulatihnya, Pep Guardiola untuk berhijrah ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Antara laporan lain mengatakan Manchester United turut melakukan rundingan bersama Barcelona untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 33 tahun itu.

Foto: FC Barcelona

komen