Written by 11:02 pm Bola Sepak, Malaysia

VIDEO: JDT Mudah Ratah Tok Gajah, Ramadhan Jaring Gol Debut

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menumpaskan pasukan Pahang dengan keputusan 3-2 dalam satu perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Seawal minit ke-5 lagi, skuad Harimau Selatan berhasil meletakkan diri 1-0 di hadapan menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez dari luar kotak penalti menewaskan Sharbinee Allawee.

Selang 10 minit kemudian, JDT yang selesa menguasai permainan menggandakan kedudukan.

Kali ini menerusi satu larian pantas oleh pemain muda yang melakukan debutnya hari ini, Ramadhan Saifullah.

Dia mudah menewaskan Sharbinee yang meluru keluar daripada kotak penalti setelah menerima suapan cantik oleh Afiq Fazail.

Pahang dilihat amat bergelut untuk mendapatkan rentak permainan terutamanya pada separuh masa pertama. Beberapa serangan dilancarkan Pahang tetapi tiada penyudah dapat dihasilkan.

JDT diberikan peluang untuk menambahkan lagi jaringan apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti setelah Ramadhan dijatuhkan oleh pertahanan Pahang, Herold Goulon.

Pemain sayap lincah, Gonzalo Cabrera mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-35 untuk memberikan JDT mendahului 3-0.

Bagaimanapun, kealpaan datang menerpa skuad JDT kendalian Benjamin Mora apabila mereka melepaskan dua gol mudah dalam masa lima minit, sebelum tamat separuh masa pertama.

Minit ke-40, Faisal Halim berjaya memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias untuk menjaringkan gol pertama buat Pahang, malam ini.

Pada minit ke-45 pula, giliran Goulon menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut daripada Rizqi Gopi untuk merapatkan kedudukan.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 3-2 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.

Memasuki babak kedua, Pahang dilihat sudah mendapat rentak permainan. Keyakinan mereka bertambah ketika menyerap asakan-asakan JDT dan sesekali melakukan serangan balas ke arah gawang yang dikawal oleh Farizal Marlias.

Akan tetapi, JDT kekal dengan disiplinnya ketika bertahan mahupun melakukan serangan. Ini menyukarkan skuad kendalian Dollah Salleh sukar untuk mencari gol penyamaan.

Kedudukan 2-3 kekal sehingga tamat perlawanan dan JDT kekal mendahului saingan CIMB Liga Super 2020 dengan 13 mata.

Foto: JOHOR Southern Tigers

(Visited 75 times, 1 visits today)
Close