Written by 2:23 am Bola Sepak, Eropah

Persembahan ‘Lemau’ Liverpool Punca Perisai Komuniti Terlucut Kepada Arsenal

Arsenal muncul juara Perisai Komuniti 2020/21 setelah menundukkan Liverpool dalam satu perlawanan yang berlangsung di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Arsenal kendalian Mikel Arteta bermain dengan sangat baik. Strategi yang dirancang Arteta juga dijalankan dengan baik oleh anak-anak buahnya. 

Penyerang prolifik mereka pula, Pierre-Emerick Aubameyang berjaya menjaringkan gol superb seawal minit ke-12 untuk meletakkan mereka 1-0 di hadapan.

Jaringan tersebut membuatkan Liverpool tersentak namun mereka dilihat amat bergelut untuk mendapatkan rentak di atas padang sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Liverpool memperbaiki persembahan ‘lemau’ mereka namun Arsenal yang bertahan penuh berdisiplin berhasil mematahkan segala serangan-serangan yang dilancarkan oleh The Kop.

Ini memaksa pengendali mereka, Jurgen Klopp menukar strategi dan membuat pertukaran berganda dengan memasukkan Takumi Minamino dan Naby Keita sekitar minit ke-60.

Pertukaran tersebut memberikan sedikit peningkatan kepada corak permainan Liverpool dan pada minit ke-73, Minamino berhasil menjaringkan gol untuk mengikat Arsenal 1-1.

Mereka cuba meningkatkan asakan untuk memburu gol kemenangan tetapi The Gunners berjaya mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi sehingga tamat 90 minit permainan.

Ini memaksa Liverpool membuat perhitungan menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketika penentuan sepakan penalti kedua untuk Liverpool, pemain muda, Rhian Brewster gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila bola rembatannya melewati palang gol.

Dan Aubameyang yang juga kapten pasukan dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti yang kelima buat Arsenal untuk memberikan kemenangan 5-4.

Ia sekaligus membolehkan mereka menjulang kejuaraan Perisai Komuniti musim ini, dan kejuaraan kedua di bawah kendalian Arteta setelah menjulang Piala FA, awal ogos lalu.

Foto: Arsenal

(Visited 22 times, 1 visits today)
Close