Written by 5:03 pm Bola Sepak, Malaysia

Kelab Eropah Buru Penjaga Gol Muda, Ini 6 Pemain Yang Berpotensi Mengikuti Jejak Luqman Hakim

Seorang lagi pemain bola sepak Malaysia berpeluang mengikuti jejak langkah Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi di liga eropah, lapor Harian Metro.

Lebih menarik, pemain tersebut merupakan seorang penjaga gol dan dikhabarkan khidmatnya sedang dirundingkan oleh pasukan yang datangnya daripada salah satu liga terbaik dunia. Malah liga tersebut merupakan negara yang pernah menjuarai Piala Dunia beberapa kali.

Antara bayangan yang diberikan mengenai pemain tersebut adalah masih muda, memiliki potensi besar dan sedang beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Bagaimanapun, tiada sebarang nama didedahkan dalam laporan tersebut kerana ingin menghormati permintaan beberapa pihak serta ianya masih di peringkat perbincangan.

Di sini, Sukanz menyenaraikan enam penjaga gol muda berusia 23 tahun dan ke bawah, pemain yang berupaya mengembangkan lagi potensi diri dan berkemungkinan mampu meraih kontrak bersama pasukan berpangkalan di eropah sebagaimana penyerang muda negara, Luqman Hakim:

6. Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Selangor 2)

Sikh Izhan Nazrel. Foto: FAM

Penjaga gol berusia 18 tahun ini merupakan generasi pertama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Dia merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala Iber 2015 di Sepanyol dan Piala SuperMokh 2016.

Namanya mula menonjol ketika mewakili Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) dalam saingan Kejuaraan B-16 AFC 2018 di bawah bimbingan Lim Teong Kim. Kini, pemain kelahiran Pulau Pinang bermain bersama skuad simpanan Red Giants, Selangor 2 yang beraksi dalam saingan Liga Premier 2020.

5. Firdaus Irman Mohd Fadhil (Selangor 2)

Firdaus Irman

Seterusnya adalah bekas penjaga gol skuad Piala Belia PKNP FC. Sebelum itu, Firdaus merupakan alumni Sekolah Sukan Malaysia Pahang, terletak di Gambang. Berusia 19 tahun dan turut beraksi bersama Selangor 2 dalam saingan Liga Premier musim ini.

Nama Firdaus mula ‘meletup’ ketika beraksi bersama skuad Piala Next Media AFF Bawah 18 Tahun (B-18) kendalian Brad Maloney. Ketika itu dia merupakan kapten pasukan dan skuadnya berjaya mara ke perlawanan akhir bertemu Australia B-18.

4. Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim)

Haziq Nadzli ketika beraksi bersama JDT II. Foto: JST

Tahun ini Haziq sudah menjengah umur 22 tahun dan merupakan sebahagian daripada skuad utama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan CIMB Liga Super 2020. Dia turut beraksi untuk simpanan, JDT II dalam saingan Liga Premier.

Memulakan kerjaya bola sepak profesionalnya bersama PDRM FA pada 2016. Nama Haziq sudah tidak asing lagi bersama skuad kebangsaan di pelbagai peringkat umur. Dia pernah dipanggil menyertai skuad negara bawah 16 tahun (B-16), bawah 19 tahun (B-19), bawah 23 tahun (B-23) serta skuad senior.

3. Azri Ab Ghani (Kedah)

Azri semasa menjalani latihan skuad kebangsaan bawah umur.

Azri merupakan penjaga gol kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan kini berusia 21 tahun. Kini Azri beraksi bersama pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah setelah meninggalkan pasukan lamanya, Felda United FC awal musim lalu.

Azri merupakan nama yang cukup sinonim dengan skuad kebangsaan bawah umur dan merupakan sebahagian daripada skuad Malaysia B-19 kendalian Bojan Hodak ketika menyertai Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia.

2. Nasrullah Abdul Aziz (Perak)

Foto: Perak TBG

Musim ini penjaga gol utama, Hafizul Hakim belum cergas sepenuhnya dan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic telah menaruh kepercayaan kepada penjaga gol muda berusia 23 tahun, Nasrullah Abdul Aziz. Dia telah bermula dalam kelima-lima perlawanan CIMB Liga Super 2020 dan menjadi penjaga gol utama Perak sehingga kini.

Merupakan bekas pemain skuad Perak B-21, kelebihannya mempunyai refleks yang tangkas. Setakat 5 perlawanan yang diharungi, Nasrullah telah mempamerkan aksi yang memberangsangkan – hanya bolos 5 gol setakat ini. Kehadiran penjaga gol kelahiran negeri Perak telah menginspirasikan skuad The Bos Gaurus menduduki tangga ke-3 liga.

1. Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC)

Rahadiazli ketika beraksi menentang Perak. Foto: Terengganu FC

Pada awal musim ini, Rahadiazli dinaikkan pangkat daripada pasukan Terengganu FC IV ke skuad senior, Terengganu FC oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain. Tidak menunggu lama, dia berjaya meraih debut Liga Super ketika perlawanan pertama musim ini menentang Perak, pada usia 19 tahun. Selepas itu, Rahadiazli menjadi pilihan utama Nafuzi buat Terengganu FC.

Sejak daripada itu, Rahadiazli yang mempunyai susuk tubuh dengan ketinggian 1.91 meter dan tangkas menepis percubaan pihak lawan menjadi sebutan bukan sahaja peminat Terengganu FC malah majoriti peminat bola sepak tanah air. Disebabkan hal itu juga dia telah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Malaysia B-19 kendalian Brad Maloney baru-baru ini.

(Visited 178 times, 1 visits today)
Close