Written by 6:30 pm Bola Sepak, Malaysia

Norizam Buat Kajian, Kelantan Mempunyai ‘Fan Base’ Terbesar Di Malaysia

Mengeluarkan belanja besar untuk membeli sebuah pasukan bola sepak yang dipenuhi dengan masalah hutang dan tunggakan gaji adalah suatu tindakan yang berisiko tinggi.

Namun bagi pemilik syarikat Zamburger, Norizam Tukiman sudah membuat kira-kira sebelum mengeluarkan dana sebanyak RM6.8 juta untuk membeli keseluruhan milikan TRW Sdn Bhd sekaligus menjadi pemilik baharu pasukan tersebut.

Jelasnya, pasukan yang berpangkalan di pantai timur itu mempunyai fan base terbesar di Malaysia. Ia mempunyai potensi tinggi untuk kembali bangkit dalam arena sukan bola sepak tanah air sepertimana awal 2010-an dahulu.

“Saya nampak pasukan Kelantan ini merupakan pasukan paling unik di Malaysia, daripada kajian saya sebelum ambil tindakan (beli saham) ini, daripada segi fan base, dia adalah nombor satu, nombor dua Kedah dan nombor tiga adalah Johor Darul Ta’zim (JDT).”

Fan base yang besar perlukan pasukan yang stabil, pengurusan yang lebih (baik), penswastaan ini merupakan satu keputusan yang baik.”

“Jadi untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun, bukan suatu yang mustahil Kelantan boleh (muncul) pasukan yang disegani semula setanding pasukan-pasukan negeri lain.” katanya selepas daripada majlis penjualan saham TRW, di Hotel Perdana, hari ini.

Sementara itu, Norizam, anak kelahiran negeri Johor tidak menganggap pemilikan pasukan bola sepak Kelantan kalangan bukan anak jati negeri tersebut sebagai isu yang besar.

“Vincet Tan beli Cardiff City tiada orang marah pun,” jawabnya dengan bersahaja di hadapan para wartawan.

Pada masa yang sama, Norizam mengharapkan semua penyokong pasukan bola sepak Kelantan dapat mendoakan kejayaan The Red Warriors.

(Visited 2,233 times, 1 visits today)
Close