Artikel

Teringat Kejadian Gigit Bahu, Suarez Telefon Kapten Chiellini Sebelum Sertai Juventus

Ketika perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D di antara Itali dan Uruguay dalam kejohanan Piala Dunia 2014, Luis Suarez dengan tiba-tiba menerpa pertahanan Azzurri, Giorgio Chiellini sebelum kedua-duanya jatuh dan berguling-guling di atas padang.

Pengadil perlawanan kelahiran Mexico, Marco Rodriguez yang menyedari kejadian itu pantas meniupkan wisel dan memberhentikan permainan. Apabila didekati, Chiellini sedang kesakitan sambil memegang bahunya dan Suarez pula terduduk mengerang kesakitan dengan tangan menyentuh giginya.

Bagi penonton di skrin televisyen, ulang tayang daripada beberapa sudut dengan jelas menunjukkan penyerang FC Barcelona tersebut menggigit bahu pertahanan lawannya. Tindakan itu dilakukan selepas dia dihadang oleh Chiellini ketika berebut bola di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, pengadil tidak menjatuhkan sebarang hukuman kepada Suarez kerana tidak dapat melihat insiden itu dengan jelas. Namun Chiellini yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu berlari ke arah pengadil sambil menyelak leher bajunya untuk menunjukkan bekas gigitan Suarez di bahu.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada Uruguay hasil jaringan Diego Godin. Itali menamatkan saingan Piala Dunia edisi tersebut di tangga ketiga peringkat kumpulan sekaligus gagal mara ke pusingan kalah mati.

Namun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ambil maklum akan insiden tersebut dan mereka menjatuhkan hukuman larangan bermain bola sepak selama empat bulan di peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan serta didenda £66,000 kepada Suarez.

Tanpa disedari insiden tersebut sudah berlalu selama enam tahun, dan kini Suarez dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi bola sepak Itali, Juventus yang juga merupakan kelab buat pertahanan yang menjadi mangsa gigitan Suarez sendiri iaitu Chiellini.

Dilaporkan oleh La Gazetta dello Sport, dengan jangkaan Suarez dan Chiellini bakal menjadi rakan sepasukan di kelab tersebut, dia telah menelefon Chiellini yang merupakan kapten pasukan Juventus dan meminta maaf berkenaan insiden menggigit bahu di saingan Piala Dunia tersebut.

Namun pertahanan veteran berusia 36 tahun ini berkata dia sudah melupakan kejadian tersebut. Malah Chiellini memahami tindakan yang dilakukan oleh Suarez itu kerana semangat yang berkobar-kobar untuk memenangi setiap perlawanan apabila turun bermain di atas padang.

Difahamkan Suarez semakin hampir ke Juventus apabila dia diumumkan tidak menjadi keutamaan buat jurulatih Barcelona baharu, Ronald Koeman menjelang saingan La Liga 2020/21.

Foto: FIFA

komen