Artikel

Manchester United Tu Pasukan Bola Sepak Ke? – Jawapan ‘Panas’ Tengku Zafrul Kepada Haniff

YB Tengku Zafrul merangkap Menteri Kewangan Malaysia merupakan penyokong tegar pasukan bola sepak yang berpangkalan di wilayah Merseyside, Liverpool FC.

Ketika ditemu bual dalam segmen JoHaRa Pagi Era pada minggu lalu, Tengku Zafrul ditanyakan oleh salah seorang penyampai Era, Haniff Hamzah samada beliau merupakan bekas penyokong Manchester United – pasukan seteru kepada Liverpool.

Belum sempat lagi soalan tersebut dihabiskan oleh Haniff, beliau yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB dengan pantas memberikan jawapan yang panas, “Manchester United tu pasukan bola sepak ke?”

Seperti kita sedia maklum, Tengku Zafrul diumumkan dilantik sebagai Menteri Kewangan Malaysia pada 9 mac lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Memandangkan beliau bukan seorang Ahli Parlimen (MP) maka beliau terlebih dahulu dilantik sebagai Senator Dewan Negara sebelum menjawat jawatan tersebut.

Sebagai seorang menteri daripada kalangan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan, kehadirannya dalam barisan kabinet negara pantas mencuri tumpuan rakyat kebanyakan terutamanya dalam kecekapannya menguruskan perbendaharaan negara ketika pandemik Covid-19 melanda.

Selain daripada itu, Tengku Zafrul turut mencuri perhatian menerusi gaya kehidupannya yang sangat aktif. Sering kali beliau berkongsikan mengenai aktivi riadah yang dilakukannya seperti aktiviti larian pada hujung minggu di laman sosialnya.

Bukan itu sahaja, Tengku Zafrul yang menjengah usia 47 tahun pada jun lalu turut berkongsikan kepada penyampai-penyampai radio Era mengenai pengalamannya menyertai acara Iron Man Challenge.

“Kita berenang 3.8 kilometer, selepas tu kita naik basikal 180 kilometer, pengakhirannya kena lari marathon penuh, 42.2 kilometer.” jelasnya secara bersahaja sambil Johan, Haniff dan Ray termenung kekaguman.

Anda boleh menyaksikan temu bual penuh pada pautan di bawah:

https://www.instagram.com/p/CEsoHwggUmG/?utm_source=ig_web_copy_link

Featured Image: FB Tengku Zafrul

komen