Written by 12:36 pm Bola Sepak, Malaysia

Lee Tuck: JDT Calon Juara Tetapi TFC Boleh Beri Kejutan

Belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas enam perlawanan, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan tepat untuk menjuarai CIMB Liga Super 2020.

Dan keyakinan skuad Harimau Selatan semakin menggunung setelah menumpaskan Perak The Bos Gaurus (TBG) dengan jaringan besar 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), minggu lalu.

Perkara itu diakui sendiri oleh kapten Terengganu Football Club (TFC), Lee Tuck menjelang pertemuan melibatkan dua pasukan tangga teratas Liga Super, jumaat ini.

“JDT, semakin menunjukkan ramuan mereka sebagai juara. Mereka mempunyai kualiti dan pengalaman selain mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol.” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Bagaimanapun, Lee Tuck yang merupakan pemain kacukan England-Malaysia mempunyai keyakinan pasukannya mampu memberikan cabaran dan kejutan kepada JDT yang dikendalikan oleh Benjamin Mora.

Skuad berpangkalan di pantai timur itu juga mahu bangkit daripada kekecewaan tewas tipis 0-1 kepada Melaka di Stadium Hang Jebat pada aksi keenam Liga Super, lima hari lalu. 

Selain itu, TFC yang dibimbing oleh Nafuzi Zain pastinya mahu mengambil peluang untuk meraih keputusan positif memandangkan mereka beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

“Namun, kami tidak gusar, sebaliknya kami bertekad bermain dengan sebaik mungkin menikmati perlawanan itu, malah keyakinan kami masih tinggi walaupun bertemu dengan pasukan terbaik di Malaysia, lagipun siapa tahu kami mampu lakukan kejutan.

“Secara peribadi saya percaya kami mampu menewaskan JDT, lagipun rekod di Kuala Terengganu sebelum ini kita pernah menang dan seri, sekali gus kami yakin mampu mengulanginya,” katanya lagi.

Untuk rekod, TFC pernah menumpaskan JDT 1-0 ketika saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 dan mengikat Harimau Selatan 2-2 dalam saingan Liga Super 2019.

Featured Image: Terengganu Football Club

(Visited 18 times, 1 visits today)
Close