Written by 1:48 pm Bola Sepak, Eropah

Liverpool Tak Perlu Ikut Cara Chelsea ‘Borong’ Pemain – Jurgen Klopp

“Kita (Liverpool) adalah sebuah pasukan yang berbeza.” jelas pengurus pasukan, Jurgen Klopp kepada para penyokong The Kop yang begitu risau apabila kelab mereka tidak begitu aktif pada jendela perpindahan kali ini.

Antara pasukan paling aktif di bursa perpindahan pemain musim ini adalah Chelsea. Kelab berpangkalan di London itu telah membawa masuk enam pemain baharu iaitu Timo Werner, Hakim Ziyech, Thiago Silva, Malang Sarr, Ben Chilwell dan Kai Havertz.

Sebagai perbandingan, skuad Liverpool bimbingan Klopp hanya memuktamadkan perpindahan seorang pemain iaitu pertahanan kiri, Kostas Tsimikas daripada pasukan Olympiacos, setakat ini.

Aksi kurang bermaya dan kekalahan Liverpool di tangan Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti minggu lalu menambahkan lagi resah para penyokong. Bermula saat itu, sebahagian penyokong mahukan Klopp mendatangkan pemain-pemain baharu ke dalam kem Liverpool. 

Ianya wajar dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Bagaimanapun, Klopp dengan tenang memberikan penjelasan dalam satu temu bual bersama Radio BBC, “Kita mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UEFA) dua tahun lalu, kita memenanginya tahun lepas dan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan jadi diri kita sendiri, dengan mengikut cara kita.”

Bagi pengendali berusia 53 tahun ini, membawa masuk ramai pemain ketika jendela perpindahan mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kekurangannya adalah pemain-pemain yang di bawa masuk itu belum terbukti dapat menyesuaikan diri di dalam pasukan.

Setelah merekrut ramai pemain, pengurus Chelsea, Frank Lampard mempunyai tugasan yang besar untuk memupuk keserasian dalam tempoh yang singkat sebelum saingan liga bermula.

“Kita tidak boleh ubah dalam satu malam dan berkata, kita mahu ikut seperti Chelsea, ikut macam mereka. Sekarang, mereka menandatangani ramai pemain (baru). Itu menjadi satu kelebihan buat mereka, sudah pasti, tetapi ini juga bermakna mereka perlu (dapatkan) keserasian secepat yang mungkin,”

“Ini bukan sahaja mengenai membawa (pemain) berkualiti ke dalam pasukan. Kamu tidak boleh membawa sebelas pemain terbaik dunia dan hanya mengharapkan seminggu kemudian, mereka bermain (corak) bola sepak terbaik yang pernah mereka mainkan. Semuanya (perlu) diusahakan secara bersama ketika sesi latihan.” jelasnya.

Buat masa ini, Klopp masih menaruh harapan tinggi kepada pemain-pemain sedia ada di dalam skuad Liverpool untuk mengharungi saingan baharu bola sepak, musim 2020/21. Baginya, apa yang dilakukan Liverpool pada jendela perpindahan kali ini tidak banyak bezanya seperti jendela perpindahan musim lalu.

“Itu menjadi kelebihan buat kami (Liverpool). Kami telah berkerja bersama dalam tempoh yang agak lama, tetapi saya tahu penyokong tidak mahu dengar! Tetapi, kamu telah perkara yang hampir sama musim lepas. Alasan kelab (berikan), kami sentiasa mahu memperbaiki skuad, tetapi ada cara-cara yang berbeza.” tambahnya lagi.

Featured Image: Liverpool FC

(Visited 21 times, 1 visits today)
Close