Artikel

Adakah Ini Merupakan Logo Baharu TRW Kelantan FC?

Laman sosial TRW Kelantan FC pada hari ini dilihat memuat naik logo baharu bagi pasukan tersebut setelah diambil alih oleh usahawan tempatan, Norizam Tukiman.

Berdasarkan pengamatan secara terperinci, keseluruhan logo kelihatan sama seperti versi sedia ada dengan mengekalkan kijang, lambang dan warna merah pada bendera negeri kelantan serta perkataan The Red Warrior.

Namun terdapat perubahan kecil iaitu pertukaran perkataan ‘Kelantan FA’ kepada ‘Kelantan FC’. Ia diyakini menjadi simbolik kepada pasukan berpangkalan di pantai timur itu telah bertukar status menjadi sebuah pasukan swasta, pada masa ini.

Di ruangan komen, perubahan kecil pada logo TRW Kelantan FC ini mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan para penyokong dan peminat. 

“Logo sedia ada ini (berada) dalam kelas tersendiri. Cukup ramuan serba serbi. Ado identiti, ado budaya, ado aura… Yang paling penting, ianya sarat menyimpan memori gemilang zaman jadi raja bola sepak Malaysia.. Kekalkan logo sedia ada.” tulis Syafiq Zulkiflee di ruang komen.

“Comel doh ni…” Tulis Awang secara ringkas menyokong pengekalan logo dengan perubahan kecil tersebut.

Sementara itu, beberapa penyokong menyuarakan pandangan agar pemilik TRW Kelantan FC membuat logo baharu dengan rekaan yang lebih ringkas dan kemas. Mereka turut menjadikan rekaan logo Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu Football Club (TFC) sebagai contoh.

Logo dengan rekaan minimalis oleh JDT dan TFC

“Mungkin, TRW Perlu logo yang baru sesuai dengan imej dan pengurusan baharu.” tulis Shawal A. Hj Mohamed.

“Buat logo macam JDT dan TFC, ringkas tapi comel.” kata Abe Kakashi TRW.

“Nampok serabut sangat…TRW perlu logo baru…” kata Irwan yang tidak ketinggalan menyuarakan padangan buat pasukan kegemarannya.

Rambu-ramba ni serabutlah. Dah tahun 2020 ni orang nak (rekaan) minimalis… Jersey collector pun suka nak beli. Lambang biar simple.. Jersey buat la warna batik Kelantan atau warna-warna wayang kulit.” tulis Amir Yusoff yang turut mengatakan logo sedia ada ini merupakan insiprasi daripada logo 125 tahun Arsenal ketika di bawah pengurusan presiden terdahulu, Tan Sri Annuar Musa.

Berdasarkan muat naik oleh laman sosial TRW Kelantan FC, tiada sebarang makluman dibuat namun logo tersebut dijadikan Profile Photo untuk akaun rasmi pasukan tersebut.

komen