Written by 11:24 pm Lain-Lain

Basikal Perlu Lesen & Plat? – Ini Komen Pelumba Negara, Azizulhasni Awang

Tular di laman sosial bahawa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) sedang mengkaji keperluan untuk mendaftar, melesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran untuk penunggang basikal dan basikal di negara ini.

Ianya bertujuan untuk menjaga keselamatan penunggang basikal yang kian bertambah akhir-akhir ini daripada terdedah kemalangan jalan raya.

Utusan Malaysia, 16 September 2020 – “MIROS sedang mengkaji keperluan lesen dan nombor plat untuk basikal memandangkan…

Posted by MIROS on Selasa, 15 September 2020

Perkara tersebut mendapat reaksi yang pelbagai daripada orang ramai. Jika ditinjau di laman sosial, terdapat segelintir yang menyokong cadangan itu namun majoritinya menolak atas pelbagai sebab.

Dan cadangan kajian daripada MIROS tersebut turut mendapat maklum balas daripada pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang atau lebih dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman.

“Ramai yang minta saya komen pasal cadangan basikal perlu lesen dan plat ini.”

“Saya cuba ringkaskan sebaik mungkin kerana kalau nak cerita dengan lebih terperinci mungkin agak panjang huraian dan penjelasannya.”

“Pertamanya, idea/cadangan ini bagus tetapi bagi saya ianya adalah pilihan yang terakhir kerana ada banyak lagi idea dan cadangan lain yang bagi saya perlu/boleh di aplikasi terlebih dahulu.” tulis Azizulhasni membuka bicara menerusi laman sosialnya.

Azizul yang merupakan juara acara keirin Kejohanan Trek Dunia 2017 mencadangkan tiga solusi bernas bagi melindungi kedua-dua penunggang basikal dan pengguna jalan raya yang lain. 

Berikut adalah tiga cadangan yang diberikannya:

・・・Assalamualaikum..Ramai yang mintak saya komen pasal cadangan basikal perlu lesen dan plat ini. Saya cuba…

Posted by Azizulhasni Awang on Rabu, 16 September 2020
  1. Mewujudkan Undang-Undang atau Peraturan Ketika Menunggang Basikal

Pihak berkuatkuasa perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak untuk hadir dengan satu polisi atau peraturan baru bagi kaki basikal ini. 

Peraturan yang saya maksudkan disini adalah peraturan ketika berkayuh di lebuh raya, peraturan berkayuh di jalan-jalan kampung, peraturan berkayuh di off-road dan peraturan-peraturan yang bersangkut-paut dengannya. Juga perlu ada sebuah polisi keselamatan integrasi di jalan raya. 

  1. Mengadakan Kempen Keselamatan Menunggang Basikal

Perlu ada kempen dan awareness program/projek tentang kayuhan dengan selamat dan betul. Saya pun tak suka bila tengok rakan-rakan cyclist lain yang kayuh macam atuk nenek mereka punya jalan kerana ini membahayakan keselamatan dan boleh menimbulkan kemarahan pengguna jalanraya yang lain. 

Tapi saya percaya juga kebanyakan dari mereka ini tidak mempunyai pengetahuan asas cara-cara serta peraturan ketika di jalan raya. Maka kita perlulah beri perhatian bab ini. Cadangan ini adalah lebih cost effective berbanding cadangan seterusnya.

  1. Membina Litar Khusus Untuk Berbasikal Sepertimana Negara Jiran Tetangga

Berkayuh di jalan raya bahayakan? Maka boleh difikirkan untuk membina litar basikal di mana hanya peminat sukan berbasikal boleh berkayuh di sini tanpa gangguan kenderaan lain.

Tak payah pergi jauh, negeri jiran kita, Thailand pun dah lama ada litar basikal ini. Boleh google ‘Skylane Bangkok’, terletak berdekatan Suvarnabhumi Airport. Trek berbasikal ini amat popular di Bangkok dan mempunyai jarak 23.5 kilometer satu pusingan. Kayuh la sampai lebam kat dalam tu. 

Korea pun dah lama ada trek khas basikal ini dan diorang lagi hebat, trek yang jaraknya nearly 1000 kilometer dan menghubungkan dari negeri ke negeri lain. 

Peminat sukan basikal boleh berkayuh stage by stage ala-ala Le Tour de Langkawi (touring) dan mereka yang complete total 1000 kilometer tu akan dapat certificate.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut menambah, “Katakan kita pilih jalan terakhir iaitu aplikasikan lesen dan nombor plat, ini bermaksud penunggang basikal juga akan mempunyai hak yang sama di atas jalan raya. 

“Maka perlu di bina infrastruktur khas kepada penunggang basikal ini seperti laluan khas basikal serta tempat parking basikal di kebanyakan tempat.” 

“Ini kita boleh lihat di beberapa negara Eropah. Seperti negara Belanda, basikal merupakan antara pengangkutan harian untuk ke tempat kerja, di sana ada laluan khas dan tempat parking basikal khas di merata-rata.”

“Di Melbourne, Australia pula mempunyai bike paths/trails yang khas. Anda boleh google Melbourne Bike Grid Map dan tengok sendiri betapa sistematik dan bagaimana ianya bersambung antara satu sama lain dan sangat efektif untuk digunakan.”

“Malah ramai yang memilih untuk berkayuh ke tempat kerja kerana lebih cepat dan meningkatkan tahap kesihatan. Ianya juga menjadi produk pelancongan di mana kita boleh berkayuh sambil menikmati sejarah serta keindahan kota Melbourne.”

“Saya tak pasti negara mana masih mengenakan plat ini tetapi di Eropah rata-rata sudah tidak digunapakai. 

“Di Poland dikenakan lesen plat selepas World War 2 sehingga lah akhir 1960-an.” 

“Di Switzerland pula pernah diguna pakai lesen plate yang dipanggil ‘Velovignette’ tetapi sudah diberhentikan pada tahun 2011.”

“Di Jerman juga mereka sudah berhenti lesen plat ini lama dahulu kerana ingin menggalakkan rakyat mereka ‘mengayuhkan kebasikalan’ itu.”

“Di Toronto, Canada ada di bincangkan idea ini pada tahun 1984, 1992 dan terkini 1996 tetapi tidak diterima ramai kerana ianya tidak efektif.”

“Antara beberapa faktor utama ianya ditolak adalah mengenakan lesen dan plat ini tidak mengubah ‘behaviour’ atau perlakuan pengayuh basikal itu.

“Keduanya menimbulkan kepayahan kepada kanak-kanak yang juga berkayuh ke sekolah (dan sebagainya) dan boleh menghalang minat ke arah aktiviti yang lebih sihat.”

“Mengenakan lesen dan plat hanyalah akan mengurangkan pengguna basikal.”

“Sekarang ni kita nak galakkan rakyat Malaysia berbasikal sebab boleh melahirkan rakyat yang sihat walafiat,”

“kalau di tackle dengan betul mungkin boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas (kurang pengguna kenderaan), basikal ni pun negara maju lain considered as clean, quiet and green.”

“Lepas tu tak ke berkembang juga ekonomi dari sektor basikal ini? Jual beli barangan basikal dan yang berkaitan, sektor sains sukan, sektor kejurulatihan dan lain-lain.”

“Andai kata ingin juga aplikasikan lesen dan plat, perlulah ada juga ujian untuk mendapatkan lesen ini, mane boleh bagi lesen suka-suka hati je kan.” 

“Jadi perlu di fikirkan pula untuk ada satu sistem seperti pengguna kenderaan yang lain yang perlu menduduki ujian untuk mendapatkan lesen mereka.” 

“Dah kalau ada yang tak lepas lesen tu macam mana pulak kan. Banyak yang saya nak huraikan tetapi rasanya cukuplah ringkasan ini sahaja dulu buat masa ini.” 

“Kesimpulannya bagi saya adalah jika nak bina bike lane atau laluan khas seperti negara-negara maju lain itu mungkin agak complicated sedikit infact kita sudah cuba dulu dan gagal.” 

“Nak bina sebuah infrastruktur khas ini adalah a different level of funding dan memerlukan dana yang besar (kurang sesuai dengan keadaan sekarang – ekonomi kurang stabil).”

“Oleh sebab itu bagi saya mungkin buat masa ini kita cuba aplikasikan dahulu point saya 1 dan 2 dahulu (kalau boleh 3 lagi bagus),

“Mungkin ada banyak lagi idea-idea bernas dari rakyat Malaysia yang lain sebelum idea lesen dan plat diguna pakai.”

“Atau mungkin juga sudah sampai masanya untuk diberikan pengiktirafan undang-undang (Recognition of Law) kepada pengayuh basikal seperti pengguna-pengguna jalan raya yang lain?” ujar Azizul menutup bicara.

Featured Image: Kuala Lumpur 2017

(Visited 1,579 times, 1 visits today)
Close