Written by 4:13 pm Bola Sepak, Eropah

Aubameyang Tidak Pernah Merungut Semasa Perlawanan – Bagaimanakah Sikap Itu Dibentuk?

Penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang telah sah melanjutkan kontraknya bersama Arsenal bagi tempoh tiga tahun lagi. Ia sekaligus menutup spekulasi penyerang berusia 31 tahun itu berhijrah ke pasukan lain.

Berita itu mendapat reaksi yang positif buat peminat dan penyokong The Gunners seluruh dunia. Manakan tidaknya, Aubameyang merupakan penggempur utama buat Arsenal dengan menjaringkan 72 gol daripada 111 penampilan sejak tiba di Stadium Emirates pada tahun 2018.

Selain daripada rekod jaringannya, corak permainan dan gaya penyudah terutamanya rembatan ‘trademark’ Aubameyang ke arah kanan pintu gol bukan sahaja memukau ramai peminat malah penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris (EPL), Alan Shearer.

Satu lagi perkara yang menarik terdapat pada Aubameyang adalah sikap dan mentalitinya. Dia tidak pernah merungut di atas padang walaupun kadangkala rakan sepasukan tidak melakukan hantaran kepadanya.

“Alan Shearer sangat menyukai kamu, dia kagum (dengan) gaya penyudah kamu, (wajah) sentiasa senyum, sentiasa gembira dan tidak pernah merungut kepada pemain-pemain lain apabila mereka tidak melakukan hantaran dan lain-lain lagi.” beritahu legenda Arsenal, Ian Wright dalam satu temubual.

Menurut Aubameyang, sikap tidak merungut itu dibentuk ketika bermain bola sepak bersama bapaknya sejak zaman remajanya lagi.

“Kami bermain bersama ayah dan (waktu itu) saya berusia 15 atau 16 tahun dan dia selalu berkata, kamu jangan merungut.” 

“Kami main beberapa perlawaan, dan ayah berkata, ‘tiada fouls di sini jadi awak tak boleh merungut. Saya boleh tarik baju, saya boleh buat macam-macam, tiada fouls.’ Inilah mentaliti yang ada pada saya.” katanya kepada Wright.

Pada masa yang sama, dia amat memahami tugas sebagai seorang penyerang. Sekiranya Lacazette atau mana-mana pemain lain tidak melakukan hantaran kepadanya, kemungkinan pemain itu melihat peluang untuk menjaringkan gol.

Justeru, tiada masalah buatnya apatah lagi mahu merungut berkenaan hal itu. Apa yang penting buat Aubameyang adalah menikmati permainan setiap kali turun bermain bola sepak.

Sementara itu, Aubameyang turut meletakkan sasaran untuk menjaringkan lebih gol untuk saingan EPL berbanding musim 2019/20. Untuk rekod, sebanyak 22 gol dijaringkan oleh Aubameyang sepanjang musim lalu.

Hanya pemenang Kasut Emas, Jamie Vardy daripada Leicester City yang mempunyai lebih gol daripadanya iaitu 23 gol.

Featured Image: Arsenal

(Visited 92 times, 1 visits today)
Close