Artikel

Baru Menang US Open, Naomi Osaka Tarik Diri Pula

Pemain tenis wanita Jepun, Naomi Osaka terpaksa membuat keputusan sukar menarik diri daripada menyertai kejohanan Grand Slam Roland Garros di Perancis.

Dia yang masih segar dari kejayaan menjulang kejuaraan Grand Slam US Open di New York baru-baru ini, terpaksa melupakan Roland Garros di atas faktor kecederaan yang dihadapinya.

Osaka mengalami kecederaan di bahagian hamstring sebelah kaki kirinya sejak saingan US Open lagi.

Malah, kesakitan yang dialami beliau itu turut dirasai apabila Osaka beraksi di perlawanan akhir menentang Victoria Azarenka.

“Saya tidak akan beraksi di kejohanan Roland Garros.”

“Hamstring saya masih lagi sakit dan saya tidak ada masa yang cukup untuk persediaan beraksi di gelanggang tanah liat,” kata beliau dalam kenyataan rasminya.

Jarak masa yang terlalu dekat antara dua kejohanan utama tenis ini jelas sekali turut mempengaruhi keputusannya kerana ia membataskan masa untuk Osaka pulih sepenuhnya.

Menurut laman BBC Sport, Roland Garros dijangka akan diadakan pada 27 September dengan kehadiran penonton ke stadium adalah dibenarkan pada jumlah yang minima.

Selain Osaka, juara bertahan kategori wanita iaitu Ashleigh Barty turut tidak akan beraksi sementara Roger Federer juga menarik diri akibat faktor kecederaan lutut.

Osaka sebelum ini merangkul gelaran Grand Slam yang ketiga dalam karier selepas menewaskan Azarenka dengan keputusan 1-6, 6-3, 6-3.

Featured Image: Naomi Osaka

komen