Written by 11:48 am Bola Sepak, Malaysia

Selain Kasut Emas Khalid, Apakah Yang Tersimpan di Muzium Bola Sepak Selangor?

Baru-baru ini, Sultan Selangor berkenan membeli trofi Kasut Emas milik bekas penjaring skuad kebangsaan, Khalid Jamlus yang dimenangi dalam saingan Liga Perdana 2002.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menyimpan trofi tersebut di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di perkarangan Istana Alam Shah, Klang.

Timbul persoalan dalam kalangan peminat khususnya peminat pasukan Selangor, sejak bila wujudnya muzium tersebut. Apakah koleksi-koleksi yang disimpan di sana? 

17 September 2020 ~ Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di perkarangan Istana Alam Shah, Klang ini adalah…

Posted by Selangor Royal Office on Rabu, 16 September 2020

Menurut perkongsian oleh laman sosial Selangor Royal Office, muzium tersebut merupakan hasil cetusan idea oleh baginda sendiri. Ianya ditubuhkan pada tahun 2012.

Antara barangan yang tersimpan di dalam muzium tersebut merangkumi kelengkapan jersi, piala, cenderahati dan bola-bola yang pernah digunakan dalam perlawanan-perlawanan penting dalam sejarah bola sepak tanah air.

Difahamkan koleksi-koleksi dan barangan berkaitan sukan bola sepak ini dikumpulkan oleh baginda sendiri sejak menjadi Raja Muda Selangor lagi.

Paling mencuri tumpuan, jersi yang dipakai oleh penyerang legenda, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari menjuarai Piala Malaysia 1986 bersama Selangor turut disimpan di sini. 

Selain itu, muzium tersebut turut mempamerkan keratan-keratan akhbar yang disimpan sendiri baginda sultan melibatkan kejayaan-kejayaan pasukan bola sepak Selangor.

Untuk pengetahuan semua, peminat-peminat bola sepak dan orang ramai boleh berkunjung ke Muzium Galeri Bola Sepak Selangor ini namun ianya boleh dilawati secara berkumpulan sahaja. 

Permohonan untuk melawati muzium ini boleh dibuat kepada Dato’ Pengelola Bijaya Diraja di Pejabat DYMM Sultan Selangor. 

Bagaimanapun, setakat ini, Muzium Galeri Bola Sepak Selangor masih ditutup kepada pelawat sehingga akhir tahun depan disebabkan pandemik Covid-19. 

Featured Image: Selangor Royal Office

(Visited 85 times, 1 visits today)
Close