Written by 4:02 pm Lain-Lain

Petra Kvitova: Kalau Boleh Saya Tak Mahu Jadi Pemain Tenis Terkenal

Untuk menjadi pemain yang terbaik di dunia, pastinya pelbagai cabaran perlu dilalui dalam perjalanan menuju ke puncak.

Pelbagai rintangan yang dihadapi, tekanan yang meninggi namun itu pastinya terbalas dengan usaha yang jitu.

Itu adalah norma bagi mana-mana atlet, namun bagi Petra Kvitova perjalanan beliau sedikit berbeza berbanding pemain tenis yang lain.

Beliau pernah berada di puncak dunia apabila berjaya merangkul gelaran Grand Slam dua kali pada 2011 dan 2014 dalam kejohanan Wimbledon.

Namun jauh disudut hatinya, beliau ingin saja menjalani kehidupan sebagai manusia biasa yang jauh dari perhatian orang ramai.

Menjadi pemain terkenal ini, mendedahkan beliau kepada ramai orang. Tetapi, apabila bertemu ramai orang, banyak pula ragamnya.

“Sukar untuk mencari kawan, maksud saya kawan yang benar-benar jujur dengan kita. Sukar juga untuk berjauhan dari keluarga,” katanya dalam temuramah di BBC Radio 5 Live.

“Saya bukanlah seorang pemain yang gemar menjadi perhatian orang awam dan surat khabar. Ada masanya, sukar untuk saya hadapi situasi ini.”

Bagi Kvitova, menjadi pemain tenis jelas sekali menjauhkan dirinya dari kehidupan sebagai manusia biasa.

“Saya tak rasa yang kami [pemain tenis] mempunyai kehidupan yang sebenar.”

“Hal ini disebabkan kerana kami masih lagi di jalanan (menyertai jelajah dunia), masih lagi berlatih, bermain dalam perlawanan, makan dan juga tidur.”

Walaupun beliau mendambakan kehidupan sebagai manusia biasa, rasa cinta Kvitova terhadap tenis tetap tinggi.

Memenangi pelbagai kejohanan utama adalah pembakar semangat untuk dirinya berjaya dalam karier tenis.

“Saya masih sayangkan tenis dan masih mahu bermain sukan ini. Memenangi pelbagai kejuaraan utama adalah motivasi saya dan kerana itulah saya masih bermain.”

Pada tahun 2016, Kvitova pernah mengalami kecederaan ditangan kiri selepas ditikam perompak di rumahnya, Republik Czech.

Kecederaan itu jelas sekali merencatkan kariernya yang ketika itu berada di puncak kerana beliau merupakan pemain kidal.

Featured Image: Petra Kvitova

(Visited 23 times, 1 visits today)
Close