Artikel

Pulau Pinang ‘Tempah Tiket’ ke Liga Super 2021

Kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Pulau Pinang berjaya mengesahkan tempat ke saingan Liga Super 2021 secara matematik setelah mengumpul 20 mata daripada 8 perlawanan Liga Premier musim ini.

Kejayaan itu diraih setelah menumpaskan pencabar terdekat iaitu Kuala Lumpur dengan keputusan 2-1 dalam aksi ke-8 Liga Premier pada sabtu lalu di Stadium Bandaraya.

Berdasarkan kiraan mata, sekiranya skuad Harimau Kumbang tewas dalam baki 3 perlawanan selepas ini dan mengandaikan semua pasukan mencatatkan kemenangan, hanya pasukan simpanan iaitu JDT II dan TFC II yang dapat mengatasi mereka dengan kutipan 23 mata dan 22 mata masing-masing.

Namun seperti kita sedia maklum, pasukan simpanan tidak akan mendapat promosi ke saingan Liga Super walaupun mereka merankul juara Liga Premier sekalipun. Ia sekaligus mengesahkan kenaikan pangkat Pulau Pinang ke saingan bola utama negara bagi musim depan.

Tinjauan kami di ruangan komen mendapati ramai peminat dan penyokong tempatan mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dikecapi oleh pasukan kendalian Manzoor Azwira itu.

“Seperti yang dijangkakan, seperti yang diidamkan, seperti yang diharapkan, Pulau Pinang membuktikannya. Tahniah pemain dan jurulatih.” tulis Khaizaar Umar.

“Selamat kembali ke liga yang layak untukmu Pulau Pinang. Terbaik. Syok ada Pulau Pinang (dalam) Liga Super.” tulis seorang yang mengakui sebagai penyokong Pahang.

Untuk rekod, kali terakhir Pulau Pinang beraksi dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2017. Pada musim itu, Pulau Pinang menamatkan kedudukan di tempat tercorot liga sekaligus diturunkan pangkat ke saingan Liga Premier.

Featured Image: FA Penang

komen