Written by 4:02 pm Lain-Lain

8 Atlet Tersenarai Dalam ‘Time 100: The Most Influential People of 2020’

Setiap tahun, majalah terkemuka dunia, TIME akan menyenaraikan 100 orang paling berpengaruh di dunia dalam senarai ‘Time Most Influential People’ mereka.

Senarai tersebut merangkumi pemimpin dunia, penghibur dan tentunya atlet sukan terutamanya mereka yang telah mencipta kejayaan yang besar dalam karier mereka serta mempunyai pengaruh besar.

Berikut adalah 8 atlet yang berpengaruh menurut majalah TIME untuk tahun 2020:

  1. Giannis Antetokounmpo (Pemain Bola Keranjang NBA)
Foto: Giannis Antetokounmpo

Antetokounmpo dipilih sebagai NBA Most Valuable Player (MVP) untuk musim 2020 – kali kedua berturut-turut beliau menggondol anugerah tersebut. Boleh dikatakan, beliau adalah pemain terbaik dalam generasi beliau. 

Antara perkara yang paling meninggalkan kesan buat dunia tahun ini, selepas beliau memacu Milwaukee Bucks mendahului dalam perlawanan playoff NBA, beliau bersama rakan-rakan sepasukan memboikot perlawanan tersebut sebagai protes kepada insiden tembakan polis ke atas Jacob Blake.

2. Maya Moore (Pemain Bola Keranjang WNBA)

Foto: WNBA

Moore mengejutkan dunia dengan mengambil keputusan untuk fokus dalam membentuk semula sistem keadilan Amerika Syarikat selepas memenangi beberapa kejuaraan WNBA.

Tatkala kariernya berada di puncak, Moore yang digelar ‘pemenang terhebat dalam sejarah bola keranjang wanita’ membantu melepaskan Jonathan Irons yang dipenjarakan selama 20 tahun selepas beliau dituduh bersalah.

3. Dwyane Wade (Bekas Pemain NBA)

Foto: Dwyane Wade

Bekas pemain bola keranjang NBA, Wade sentiasa sanggup menggunakan pengaruh sosialnya untuk memberi sokongan kepada orang lain dan menyuarakan pendapat minoriti. Sesuatu yang mungkin ramai orang-orang berpengaruh tidak mengambil peduli.

4. Lewis Hamilton (Pelumba Formula One)

Foto: Lewis Hamilton

Satu-satunya pemandu Formula One berkulit hitam ketika ini, Hamilton sentiasa menyuarakan tentang isu perkauman kepada dunia F1 dan menjadi contoh kepada ramai pemandu berkulit hitam di luar sana. Hamilton yang juga merupakan juara dunia enam kali, sedang mencuba untuk menyamai rekod dipegang Michael Schumacher – juara tujuh kali dunia, musim ini.

5. Patrick Mahomes (Pemain Bola Sepak NFL)

Foto: Kansas City Chiefs

Mahomes, pemain pasukan Kansas City Chiefs dalam NFL telah menunjukkan bahawa beliau bukanlah atlet biasa. Di usia 25 tahun, beliau sentiasa menunjukkan cintanya kepada permainan American football, cukup komited dan fokus dalam permainan beliau, dan telahpun mempunyai legasinya yang tersendiri dalam sukan itu.

6. Naomi Osaka (Pemain Tenis)

Foto: Naomi Osaka

Naomi Osaka merupakan pemenang US Open 2020, baru-baru ini. Beliau merupakan seorang lagi atlet yang menyuarakan tentang isu perkauman dan sering diserang berkenaan isu tersebut. Begitupun, beliau langsung tidak melatah sebaliknya terus fokus dalam permainannya untuk menjulang antara kejuaraan tertinggi dalam permainan tenis.

7. Megan Rapinoe (Pemain Bola Sepak Wanita)

Foto: Megan Rapinoe

Juara Piala Dunia Wanita 2019 ini tidak mengikut kebanyakan atlet lain yang hanya bersuara berkenaan sukan. Rapinoe menggunakan kelebihannya yang ada sebagai pemain bola sepak untuk menyuarakan pendapatnya berkenaan persamaan jantina.

8. Allyson Felix (Pelari Pecut)

Foto: Allyson Felix

Allyson Felix pernah menyuarakan kepada penajanya, Nike tentang bayaran yang kurang diterimanya selepas beliau melahirkan anak. Seterusnya Felix bersuara tentang diskriminasi terhadap wanita mengandung yang dihadapi ramai wanita pada hari ini. Beliau menyatakan bahawa wanita mengandung sepatutnya diberikan lebih sokongan.

(Visited 58 times, 1 visits today)
Close