Written by 6:01 pm Bola Sepak, Malaysia

‘Ada Pasukan Tunggu Kelulusan Untuk Guna Pakai Nama Negeri’ – Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata beberapa pasukan yang masih belum melengkapkan proses penswastaan kepada Football Club (FC) bukanlah kerana mereka ‘tidur’.

Menurut Stuart, pasukan-pasukan ini sedang menunggu kelulusan beberapa pihak tertinggi untuk menggunapakai nama asal terutamanya melibatkan nama-nama negeri. Ianya bagi mengekalkan sejarah pasukan dan sokongan daripada peminat-peminat.

Selain itu, faktor kenegerian menjadi alasan kukuh untuk mereka kekal menggunakan nama negeri bagi memupuk rasa kekitaan (sense of belonging).

Antara pasukan yang masih belum melengkapkan proses penswastaan menurut satu makluman oleh FAM adalah Selangor, Kelantan, Felda United FC, Pahang, Pulau Pinang dan Kedah.

“Ada pasukan yang menunggu kelulusan dalaman daripada pihak tertentu untuk menggunapakai nama negeri dan semua ini memerlukan masa yang agak panjang buat mereka.

“Tetapi daripada apa yang dimaklumkan pada saya, semua itu sudah diselesaikan menerusi keputusan dalaman dan semuanya sedang berjalan lancar di mana mereka dalam proses untuk mendaftarkan syarikat.” kata Stuart dipetik daripada Berita Harian.

“Kita faham dengan situasi ketika ini, ada halangan untuk mereka khususnya membabitkan pihak yang membuat keputusan di peringkat tertinggi. 

“Jadi kelewatan ini atas sebab munasabah dan bukan kerana pasukan ‘tidur’ atau sebagainya.

“Apapun, kita mengharapkan empat pasukan ini dapat selesaikan secepat mungkin dan FAM sentiasa membantu mereka untuk memberi penjelasan kepada lembaga dan jawatankuasa tertentu pasukan itu bagi memaklumkan kepentingan mengenai penswastaan ini,” katanya lagi.

Untuk makluman, tarikh akhir bagi melengkapkan proses penswastaan kelab adalah 30 september ini. FAM turut menegaskan tarikh ini tidak akan dilanjutkan.

Mana-mana pasukan yang gagal melengkapkan proses ini, mereka tidak akan dibenarkan untuk bersaingan dalam kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seperti Liga Juara-Juara dan Piala AFC serta saingan domestik, Liga Super dan Liga Premier musim depan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 39 times, 1 visits today)
Close