Written by 10:57 pm Bola Sepak, Malaysia

Kejuaraan Yang Tertangguh – PJ City Ikat JDT Di Laman Sendiri

Hasrat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut terpaksa ditangguhkan.

Hal ini kerana skuad kendalian K. Devan iaitu Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC) berhasil mengikat mereka dengan jaringan 2-2 di halaman sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung dalamn keadaan cuaca hujan renyai itu menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu menjarikan gol pembukaan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-35.

Namun pendahuluan itu tidak kekal lama apabila pasukan tuan rumah menemui jaringan penyamaan melalui Christie Jayaseelan hanya berselang dua minit kemudian.

Tatkala permainan separuh masa pertama tamat dengan kedudukan seri 1-1, PJ City FC dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah penyerangnya, Washington Bradao diterjah oleh Farizal Marlias di dalam kotak penalti.

Christie Jayaseelan mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk meletakkan PJ City FC 2-1 kembali di hadapan.

Bagaimanapun JDT turut mendapat sepakan penalti ketika waktu kecederaan pada separuh masa pertama dan Gonzalo Cabrera mudah menewaskan penjaga gol lawan, Kalamullah Alhafiz sekaligus mengikat PJ City FC dengan skor 2-2.

Separuh masa melihatkan JDT yang dibimbing oleh Benjamin Mora meningkatkan asakan mereka untuk mencari gol kemenangan. 

Manakala PJ City FC lebih banyak bertumpu di kawasan sendiri dan bertahan untuk mengelakkan gawang mereka dibolosi.

Perancangan mereka ternyata membuahkan hasil untuk mengikat JDT disamping kehebatan Kalamullah menepis bola-bola berbahaya menuju ke arah gawang PJ City FC. 

Kedudukan 2-2 kekal sehingga masa penamat dan tuan rumah berjaya mencuri satu mata manakala JDT terpaksa menangguh hasrat mereka untuk bergelar juara CIMB Liga Super 2020 secara matematik, pada malam ini. 

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 16 times, 1 visits today)
Close