Artikel

Proses Penswastaan Kedah Terganggu Kerana Pejabat Tutup Disebabkan oleh PKPD

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) merupakan salah satu pasukan yang masih belum melengkapkan proses penswastaan kelab sebagaimana yang dimahukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presidennya, YAB Muhammad Sanusi Md Noor berkata kelewatan skuad Helang Merah melengkapkan proses tersebut disebabkan oleh arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar.

Justeru, pejabat-pejabat berkaitan telah diarahkan tutup oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 11 september lalu dan tamat pada jam 12 tengah malam, hari ini.

Sementara itu, menurut laporan Harian Metro, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata pihaknya telah melengkapkan 98 peratus urusan dokumen yang diperlukan.

Sanusi turut melahirkan keyakinan proses tersebut dapat diselesaikan sebelum daripada tarikh akhir.

“Apabila jabatan berkaitan dibuka semula pada 26 September iaitu selepas PKPD Secara Pentadbiran Kota Setar tamat, kita boleh selesaikan perkara selebihnya.

“Kita juga sudah serahkan surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi meminta lanjutan, namun jika permintaan itu tidak dibenarkan, kita yakin dapat selesaikan semuanya sebelum 30 September,” katanya.

Dalam laporan yang sama, antara dokumen yang belum diselesaikan oleh pihaknya adalah berkaitan urusan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Featured Image: FA Kedah

komen