Written by 8:44 pm MotoGP, Permotoran

Valentino Rossi Sertai Pasukan Malaysia Harungi Saingan MotoGP 2021

Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi diumumkan secara rasmi akan menyertai Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) untuk mengharungi saingan MotoGP 2021 kelak.

Difahamkan, Rossi menandatangani kontrak bersama pasukan Malaysia ini selama setahun dan ini juga bermakna peminat-peminat sukan permotoran akan dapat melihat kelibat pelumba berusia 41 tahun itu buat semusim lagi dalam saingan perlumbaan motosikal kelas premier.

Penghijrahannya daripada pasukan kilang, Yamaha Factory Racing ke pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT menyaksikan pelumba kelahiran Urbino, Itali ini akan kekal menunggang jentera Yamaha YZR-M1 buat musim kesembilan berturut-turut.

Selain itu, Rossi akan menjadi rakan sepasukan kepada bekas anak didiknya, Franco Morbidelli untuk saingan musim hadapan. Satu perkara yang cukup menarik untuk disaksikan oleh para peminat MotoGP seluruh dunia.

Untuk rekod, Petronas Yamaha SRT mula menyertai saingan MotoGP pada tahun 2019 di mana  pasukan ini, menerusi para pelumbanya telah meraih tujuh podium musim lalu.

Musim ini, setakat tujuh perlumbaan, Petronas Yamaha SRT telah meraih empat podium dan mencatatkan tiga kemenangan.

Featured Image: Valentino Rossi

(Visited 54 times, 1 visits today)
Close