Artikel

Kelab Amatur SRFC Berjaya ‘Pancing’ 10 Penaja Termasuk Syarikat Penerbangan, AirAsia

Siapa sangka dengan perancangan yang baik, kelab bola sepak berstatus amatur mampu memancing sehingga sepuluh penaja termasuk syarikat penerbangan tambang murah terkenal, AirAsia.

Antara barisan penaja lain yang berjaya dipikat oleh Setiawangsa Rangers Football Club atau lebih dikenali sebagai SRFC adalah CRSC Group, AmaxMall, SkyWorld, Sunway Avila, Sri Ternak Food Mart, Orangkata.my, Shortea Barbershop, Voltagehub dan Wangsa Walk Mall.

Walaupun baru menginjak usia dua tahun, menurut penaungnya, Nik Nazmi Nik Ahmad, SRFC sebagai kelab bola sepak komuniti yang bertapak di Kuala Lumpur telah mencapai banyak kejayaan dalam saingan Liga Bola Sepak Kuala Lumpur dan AirAsia KL Junior League.

Pada masa yang sama, SRFC yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) turut mempunyai pasukan bola sepak dan futsal wanita.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa telah melancarkan jersi baharu SRFC untuk musim 2020 dalam satu majlis yang berlangsung di Wangsa Walk Mall, semalam.

Jersi mereka hadir dalam dua edisi iaitu warna merah dan hitam bagi Home. Manakala satu lagi edisi didatangkan dengan warna biru dan hitam bagi Away.

Kedua-duanya diletakkan tanda harga RM50 dan para peminat yang berhasrat untuk mendapatkan jersi SRFC boleh menghubungi pihak kelab menerusi aplikasi permesejan, Whatsapp. 

Difahamkan, SRFC telah menetapkan sasaran untuk beraksi dalam saingan Liga M4 di bawah kelolaan Amatuer Football League (AFL) bermula tahun hadapan.

Featured Image: Nik Nazmi Nik Ahmad

komen