Artikel

Selepas Dipecat Selangor, Satiananthan ‘Dirisik’ Kelab Luar Negara

Khidmat kejurulatihan B. Satiananthan masih ‘laku’ walaupun dia baru sahaja dipecat oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ekoran prestasi yang tidak memberangsangkan dalam saingan CIMB Liga Super 2020.

Berdasarkan laporan akhbar tempatan, jurulatih berusia 62 tahun itu  mengakui dihubungi oleh beberapa pihak termasuk pasukan bola sepak berpangkalan di luar negara untuk menanyakan khidmatnya.

Bagaimanapun, Satiananthan yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro Diploma AFC belum membuat sebarang pertimbangan untuk menerima mana-mana tawaran setakat ini.

“Memang saya akui menerima panggilan daripada beberapa individu termasuk daripada luar negara yang bertanya mengenai khidmat sebagai jurulatih namun perkara terbabit bukanlah membincangkan secara serius.

“Sekarang ini saya mahu berehat dahulu dan akan memikirkan perkara terbabit nanti termasuk mendapat tawaran secara serius,” katanya dipetik daripada Harian Metro.

Beliau diumumkan dipecat sebagai ketua jurulatih skuad Red Giants menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak kelab pada isnin lalu.

Bersama Selangor, Satiananthan telah membimbing pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu menduduki tempat ke-3 saingan Liga Super 2019 dan mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia 2019.

Untuk rekod, beliau yang turut dikenali dengan panggilan Coach Satia belum mempunyai sebarang rekod mengendalikan mana-mana pasukan yang berpangkalan di luar negara.

Featured Image: FA Selangor

komen