Written by 10:52 am Bola Sepak, Malaysia

Piala Tun Sharifah Rodziah Musim Ini Tangguh ke Tahun 2021

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa pertandingan bola sepak wanita kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2020 terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang lain pada 2021.

Berdasarkan perancangan awal FAM, PTSR 2020 dijadualkan berlangsung pada november ini, namun perancangan itu tidak dapat diteruskan berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 di dalam negara.

“Saya pasti para pemain serta aktivis-aktivis bola sepak wanita di negara ini berasa kecewa dengan perkembangan terbaharu ini, begitu juga saya yang sangat mengharapkan agar bola sepak wanita dapat dimainkan semula selepas terhenti lama akibat pandemik COVID-19 sejak dari awal tahun 2020 ini.”

“Ia satu keputusan yang berat dan sukar untuk dibuat, namun kita semua perlu akur bahawa kesihatan dan keselamatan semua termasuk pemain-pemain bola sepak wanita, para pegawai serta keluarga masing-masing perlu diutamakan,”

“(Ianya) bagi mengelak daripada kita dijangkiti pandemik COVID-19 yang belum reda ini.” kata Dato’ Suraya Yaacob merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dalam satu kenyataan pada hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti bola sepak wanita di luar padang akan terus dijalankan. Antaranya Kursus Sijil Kejurulatihan Lesen D Wanita FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 5 hingga 9 oktober dan Kursus Sijil Kejurulatihan Lesen C Wanita MSN/FAM di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang pada 5 hingga 25 oktober.

Sementara itu, Dato’ Suraya melahirkan keyakinan aktiviti bola sepak wanita di negara ini akan lebih rancak pada tahun hadapan dengan peruntukan tambahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada bola sepak wanita dan perancangan rapi oleh FAM bagi tahun 2021.

Dalam makluman yang sama, FAM turut mengumumkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita 2020-2030 yang dirancang untuk dilancarkan pada tahun ini juga akan ditangguhkan pelancarannya pada 2021.

Featured Image: FAM

(Visited 222 times, 1 visits today)
Close