Artikel

Sangat Berbaloi! Gaji Rossi Tidak Ditanggung Pasukan Petronas

Gaji pelumba legenda, Valentino Rossi tidak berada di bawah tanggungjawab pasukan negara, Petronas Yamaha SRT walaupun bakal berlumba bersama mereka untuk saingan MotoGP, musim depan.

Terdahulu, Rossi yang merupakan juara dunia sebanyak sembilan kali disahkan secara rasmi menyertai pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT dengan kontrak selama setahun, sabtu lalu.

Menurut prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata pembiayaan gaji Rossi sepanjang dia beraksi bersama pasukan Malaysia ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pasukannya yang terdahulu, Monster Energy Yamaha.

“Pada awalnya, apabila kita ditawarkan peluang (mendapatkan) Valentino, terdapat beberapa terma dan syarat. Pada masa sama, kita juga mahukan dan tawaran itu bagus.

“Kos untuk mendapatkan Valentino dibayar oleh pasukan pengeluar dan bukannya kita,” kata Razlan seperti dipetik dalam Berita Harian.

Sepertimana diketahui, khabar mengenai pelumba berusia 41 tahun ini untuk menyertai Petronas Yamaha SRT telah lama bertiup. Dan ianya diikuti dengan beberapa siri perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak.

“Ini membabitkan kontrak antara Yamaha dan Valentino, Yamaha dan SIC dan Valentino bersama SIC. Dia bukannya seorang pelumba biasa, ini Valentino, jadi (perbincangan) menjadi agak lama, namun akhirnya kita menandatanganinya,” jelas Razlan.

Sementara itu, mengenai tempoh kontrak selama setahun di antara Rossi dan Petronas Yamaha SRT, Razlan berkata pihaknya akan melihat perkembangannya daripada satu perlumbaan ke perlumbaan yang lain sebelum meneruskannya atau tidak untuk musim-musim berikutnya.

Dengan pengumuman kemasukan Rossi ke pasukan Petronas Yamaha SRT ini, dia kekal menunggang jentera YZR-M1 dan akan bergandingan bersama bekas anak didiknya, Franco Morbidelli.

Featured Image: Monster Energy Yamaha

komen