Artikel

Tiada Perubahan Besar, Selangor FC Sebagai Nama Pasukan

Tiada perubahan besar dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dengan menggunakan Selangor Football Club (Selangor FC) sebagai nama pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super 2021.

Manakala The Red Giants pula kekal sebagai nama gelaran untuk pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Perubahan ini dilakukan untuk mematuhi proses penswastaan yang dikehendaki oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kita akan terus gunakan nama Selangor FC sebagai nama rasmi dan mengekalkan The Red Giants sebagai nama gelaran pasukan Selangor. 

“Tidak banyak yang kita lakukan buat masa ini termasuk bagi proses penjenamaan, cukup sekadar memenuhi syarat.

“Ini kerana jika diikutkan pihak kami bercadang untuk melakukan proses penjenamaan ini dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon dalam Sinar Harian.

Stadium MBPJ – Foto: MFL

Sementara itu, Dr. Johan turut memaklumkan pasukan Selangor dibenarkan menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang rasmi bagi saingan musim depan.

Pertukaran gelanggang rasmi ini dilakukan untuk memberi laluan kepada usaha baik pulih infrastruktur-infrastruktur di Stadium Shah Alam (SSA).

“Kelulusan menggunakan stadium berkenaan telah diperolehi daripada pihak MBPJ. Bagaimanapun, kami masih belum dapat mengesahkan gelanggang rasmi bagi skuad Selangor 2 buat masa ini.

“Lagipun, kita sendiri tidak tahu bilakah Selangor akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam kerana difahamkan kerja-kerja pembaikan di stadium berkenaan bukan hanya melibatkan bumbung, tetapi turut melibatkan infrastruktur lain,” jelasnya lagi.

Featured Image: FA Selangor

komen