Written by 2:53 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Lapan Bulan Di Portugal, Safawi Pasti Rindukan Nasi Dagang

Penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid pastinya akan merindui menu kegemaran hasil masakan ibunya iaitu nasi dagang sepanjang berada di Portugal.

Menurut abangnya, Ahmad Fariq memberitahu bahawa nasi dagang merupakan makanan kegemaran Safawi sejak kecil dan ibu mereka, Salemah Abu Bakar amat mahir menyediakan menu tersebut.

Menjadi kelaziman buat ahli keluarganya menjamu menu tersebut setiap kali berjumpa bersama Safawi terutamanya di waktu cuti.

Mengulas mengenai penghijrahan adiknya ke Portugal, Ahmad Fariq turut melahirkan perasaan gembira dan bangga terhadap Safawi kerana dapat mengembangkan bakatnya ke benua eropah. 

Namun pada masa yang sama berasa sedikit sedih kerana terpaksa berpisah dengan adiknya itu untuk tempoh sekitar lapan bulan.

“Makanan kegemaran dia antaranya nasi dagang yang dimasak oleh ibu. Mungkin itu makanan yang akan dirinduinya.

“Perasaan keluarga ketika ini gembira bercampur sedih. Gembira itu kerana dia dapat bermain di sana, sedih itu kerana dia tinggalkan kita.

“Dalam keadaan sekarang ini (Covid-19) kita tidak tahu bila dia dapat balik. Beza sangat kali ini berbanding ketika dia bersama skuad negara atau JDT (Johor Darul Ta’zim). 

“Lapan bulan iaitu satu musim dengan jarak yang jauh memang sangat berbeza,” kata Ahmad Fariq dipetik daripada Harian Metro.

Terdahulu, pemain berusia 23 tahun itu telah berlepas ke Portugal pada hari sabtu lalu bagi melengkapkan perpindahan ke kelab Liga Primeira, Portimonense SC.

Menurut laporan media, Safawi berhijrah ke Portimonense SC dengan kontrak pinjaman selama semusim daripada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 52 times, 1 visits today)
Close