Written by 11:25 am Bola Sepak, Malaysia

Kuching FA, TRW Kelantan FC Berpeluang Melangkah Ke Liga Super?

Salah satu daripada dua pasukan Liga Premier iaitu Kuching FA atau TRW Kelantan FC kini mempunyai peluang untuk mara ke saingan utama bola sepak tanah air, CIMB Liga Super 2021.

Hal ini kerana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang merupakan pemilik kepada Kelab Bola Sepak Felda United (Felda United FC) mengumumkan penglibatan pasukan tersebut dalam saingan Liga Malaysia sehingga penghujung musim 2020 sahaja.

Sehubungan dengan pengumuman oleh FELDA itu menerusi satu siaran media semalam, ia sekaligus akan mengosongkan satu slot dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, sekiranya Felda United FC tetap dengan keputusan tersebut maka kekosongan yang ditinggalkan itu akan diisi dengan mana-mana pasukan lain.

“Felda adalah satu pasukan yang berdaya saing dan agak merugikan jika mereka menarik diri daripada kancah Liga Malaysia terutama membabitkan peminat di kalangan warga Felda.

“MFL akan mengambil langkah seterusnya dengan mengambil langkah tertentu untuk mengisi kekosongan Felda jika mereka tetap dengan keputusan itu,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.

Bagaimanapun, peluang Kuching FA dan TRW Kelantan FC untuk mendapat promosi ke saingan CIMB Liga Super 2021 ada namun amat tipis.

Di antara kedua-dua pasukan pula, Kuching FA dilihat mempunyai peluang yang lebih besar berbanding TRW Kelantan FC berdasarkan mata yang terkumpul daripada 10 perlawanan.

Untuk aksi terakhir Liga Premier 2020, Kuching FA dijadualkan bertemu Kuala Lumpur manakala TRW Kelantan FC akan berentap dengan Johor Darul Ta’zim II pada hujung minggu ini.

Pada masa yang sama, mereka perlu ‘berdoa’ agar Felda United FC yang dibimbing oleh Nidzam Jamil berjaya meraih kemenangan dalam aksi terakhir Liga Super 2020 dengan menewaskan Selangor.

Selain itu, mereka juga perlu mengharapkan pasukan UITM FC menumpaskan pasukan Sabah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto dalam satu lagi aksi berlainan pada hujung minggu ini.

Dengan terjadinya situasi di atas, akan ada tiga kekosongan dalam saingan CIMB Liga Super 2021. Dua pasukan akan diisi secara automatik oleh juara Liga Premier 2020 (Pulau Pinang) dan Kuala Lumpur.

Manakala satu slot lagi boleh diisi oleh Kuching FC sekiranya mereka menang. Dan jika Kuching FC tewas dan TRW Kelantan FC pula mencatatkan kemenangan, maka slot Liga Super itu akan diberikan kepada pasukan yang berpangkalan di pantai timur tersebut.

Featured Image: Kuching City FCJOHOR Southern TigersTRW Kelantan FC

(Visited 183 times, 1 visits today)
Close