Written by 11:42 am Bola Sepak, Eropah

Cavani Bakal Ikut Jejak Ibrahimovic Atau Falcao?

Kemasukan penyerang berusia, Edinson Cavani ke Manchester United menimbulkan tanda tanya samada dia bakal menyerlah seperti Zlatan Ibrahimovic atau beraksi malap bagaikan Radamel Falcao?

Kedua-dua penyerang Ibrahimovic dan Falcao ditandatangani oleh Manchester United pada usia yang agak lewat iaitu sekitar umur 35 tahun dan 28 tahun masing-masing. Manakala Cavani pada ketika ini berusia 33 tahun.

Ibrahimovic yang bermain selama setahun setengah bersama The Red Devils berjaya meledak 29 gol dan mencipta 10 bantuan gol hasil daripada 53 penampilan. 

Walaupun dihimpit dengan kecederaan, penyerang Sweden itu sempat membawa Manchester United menjulang tiga piala iaitu Perisai Komuniti, Piala Liga dan piala Liga Europa. 

Sementara itu, Falcao yang mencipta nama sebagai penyerang prolifik bersama FC Porto, Atletico Madrid dan AS Monaco gagal meneruskan impak sedemikian apabila dipinjamkan ke Manchester United pada tahun 2014.

Tidak tahu dimanakah silapnya, penyerang Colombia itu hanya merekodkan 4 gol dan mencipta 5 bantuan gol sahaja sepanjang menyarung jersi merah pasukan berpangkalan di Old Trafford tersebut.

Sementara itu, ketika Cavani bersama kelab lamanya, Paris Saint-Germain (PSG) dia membuktikan dirinya sebagai penyerang hebat dengan menyumbat sebanyak 200 gol.

Bagaimanapun, kontraknya bersama gergasi Perancis itu tidak disambung ekoran penurunan prestasi sejak akhir-akhir ini akibat kecederaan. Dan perkara itu juga menyebabkan dia sukar untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Adakah Cavani yang diberikan jersi bernombor 7 dapat mengembalikan sentuhannya di Manchester United sekaligus mengikuti jejak langkah Ibrahimovic atau gagal menyerlah sepertimana Falcao?

Sama-sama kita nantikan.

Featured Image: Manchester United

(Visited 24 times, 1 visits today)
Close