Artikel

PUMA Tidak Jual Jersi Man City Ini Tetapi Boleh Dapatkan Secara Percuma

Penaja pakaian Manchester City, PUMA telah mengeluarkan sebuah jersi edisi terhad dengan rekaan unik gabungan warna biru, putih dan merah jambu.

Bagaimanapun jersi ini tidak akan disarung oleh skuad The Cityzen dalam saingan bola sepak musim ini serta tidak akan dijual oleh PUMA.

Pada mei lalu, mereka menjalankan ‘PUMA Design-A-Kit-Contest’ untuk memberi peluang kepada peminat-peminat menghasilkan rekaan jersi Manchester City mengikut cita rasa sendiri.

Lebih daripada 1,000 penyertaan diterima daripada seluruh dunia namun selepas menapis semua rekaan, pihak juri memilih rekaan oleh peminat cilik dari Dublin, Lucy Beth.

Jersi unik ini dikeluarkan sempena meraikan kejayaan kanak-kanak berumur 9 tahun itu memenangi pertandingan yang dijalankan oleh PUMA tersebut.

Pihak kelab telah menghantar jersi keluaran PUMA rekaannya menerusi pos. Ianya turut disertakan dengan jersi yang ditandatangani oleh pemain kegemarannya, Sergio Aguero.

Foto: Manchester City

“Saya buat keputusan untuk menyertai pertandingan ini kerana saya suka melukis dan mewarna, dan saya juga peminat Manchester City, ia bagus untuk saya,”

“Saya pilih rekaan ini kerana mereka telah mempunyai rekaan belang dan saya fikir lebih baik mempunyai warna yang terang, jadi saya buat (rekaan) belang di bahagian dalam,”

“Saya kekalkan warna biru kerana Manchester City adalah biru, jadi saya tambah warna merah jambu untuk warna yang lebih terang.”

Foto: Manchester City

“Saya sangat teruja memenangi pertandingan ini dan saya masih tidak percaya Aguero buat video kepada saya.”

“PUMA buat kerja yang hebat. Saya tidak sangka rekaan saya dijadikan jersi yang sebenar – saya bagi thumbs up!” kata Lucy.

Sepertimana dinyatakan di atas, jersi ini tidak akan dijual di mana-mana kedai bagaimanapun para peminat Manchester City berpeluang untuk memenanginya dengan menyertai ‘give away contest’ – terhad kepada 20 helai.

‘Give away contest’ ini terbuka kepada semua dan untuk menyertainya, anda hanya perlu mendaftarkan diri di laman sesawang rasmi Manchester City dan kemudiannya sertai masuk pertandingan tersebut.

Tarikh akhir untuk menyertai pertandingan ini adalah pada 21 oktober 2020. 

Klik di sini untuk menyertai ‘give away contest’ Manchester City.

komen